IBU BAPA SEBAK TERIMA SKROL DIPLOMA ARWAH ANAK

Oleh: Nurul Aida Othman & Mohd Khairul Effendi Che Wan

PAUH PUTRA, 14 Januari 2024 - “Nanti konvo achik (Nur Illyana Hasnaa) nak bawa umi dan abah bergambar dan achik hendak pakai baju konvo sambil pegang bunga dan teddy bear di tangan...,” kongsi Noor Azira Sulaiman, 52, ibu kepada Allahyarhamah Nur Illyana Hasnaa Mustapa, graduan Program Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang meninggal dunia pada 17 Mei 2023 lalu.

Noor Azira dan suami Mustapa Awang Besar, 55, sebak menerima skrol mewakili arwah anak mereka selepas menerima kunjungan daripada delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di kediaman di Pasir Mas Kelantan semalam.

Skrol diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zaliman Sauli sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah; Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal, Prof. Ir. Ts. Dr Shahriman Abu Bakar; dan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.

Noor Azira berkata beliau tidak menyangka pihak UniMAP akan mengaturkan majlis ini selepas mereka tidak dapat hadir Istiadat Konvokesyen 18 UniMAP pada November 2023 lalu.

“Kami sangat terharu menerima kunjungan delegasi UniMAP dan terima kasih kerana menyempurnakan tamatnya pengajian anak kami.

“Niat di hati memang ingin menghadiri istiadat tersebut namun dengan situasi kewangan dan faktor kesihatan suami terpaksalah membatalkan niat kami ke sana,” katanya sebak.

Mengimbas sewaktu keberadaan Nur Illyana, Noor Azira berkata, anaknya sangat teruja untuk menghadiri konvokesyen dan merencanakan pelbagai aktiviti bagi meraikan graduasinya.

“Nur Illyana mula jatuh sakit sejak Januari 2023 dan dikesan mempunyai ketumbuhan di ovari tetapi selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.

“Selepas itu arwah disahkan pula mengidap kanser ovari tahap empat dan perlu menjalani rawatan kimoterapi. Namun tidak sempat dan meninggal dunia pada Mei tahun lalu,” ujar Noor Azira sebak.

Sementara itu, Prof. Dato’ Dr. Zaliman berkata arwah Nur Illyana telah menamatkan pengajian peringkat diploma Sidang Akademik 2022/2023 dan layak untuk bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen 18 lalu.

“Namun disebabkan beberapa faktor menyebabkan ibu bapanya tidak dapat hadir ke istiadat konvokesyen dan UniMAP mengambil inisiatif untuk menyerahkan sendiri skrol arwah di kediaman mereka.

“Dalam detik yang penuh kesyukuran dan juga kesedihan, kita meraikan pencapaian akademik cemerlang yang diraih oleh Allahyarhamah Nur Illyana Hasnaa dan saya berharap ia menjadi kebanggaan buat keluarganya,” jelas Prof. Dr. Zaliman.

Sementara itu, pada majlis yang berasingan, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman mengetuai delegasi turut menziarahi keluarga pelajar yang terjejas akibat banjir yang melanda Ketereh, Pasir Mas dan Jeli baru-baru ini.

Pelajar yang terlibat ialah Elisa Mohd Kamal dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia; Amirul Akmal Aminuddin dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik; dan Muhammad Najmi Mohamad Noor dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal.

”UniMAP juga turut menggerakkan staf untuk menyerahkan sumbangan kepada pelajar-pelajar kita yang berada Kuala Krai dan Terengganu.

”Saya berharap sumbangan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban dan mengeratkan ukhuwah antara UniMAP dan keluarga pelajar” katanya.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, UniMAP sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar dan meminta mana-mana pelajar yang mempunyai masalah atau memerlukan bantuan untuk tampil memberi maklumat kepada pihak pengurusan.