Oleh: Nurul Aida Othman
ALOR SETAR, 5 November 2023 - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyeru pegawai muda untuk mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah pergolakan dan krisis yang sedang berlaku di Palestin.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES UniMAP yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, di sini malam tadi.
Titah baginda, perkara sebegini harus menjadi peringatan bagi mengelakkan perkara yang sama terjadi kepada negara Malaysia.
“Apa jua berlaku kita perlu mempertahankan kedaulatan negara dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan negara kita dijajah oleh warga asing.
“Kita bebas memperlihatkan ekspresi terhadap sebarang isu yang berlaku, namun perlu mematuhi undang-undang serta menjaga adab tatasusila,” titah Baginda.
Ujar Baginda lagi, elak menggunakan isu sensitif dalam menyuarakan pendapat di media sosial khususnya bagi menjaga keharmonian semua rakyat baik di peringkat nasional mahupun global.
“Malah Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah salah satu nilai penting Rukun Negara yang menjadi landasan utama bagi mewujudkan keharmonian, keselamatan dan kemajuan negara.
“Kita harus sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan mematuhi undang-undang negara yang telah termaktub,” titah Baginda.
Berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Ketua Polis Perlis, Dato’ Muhammad Abdul Halim; Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli; dan Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Pada majlis itu seramai 74 pegawai muda diraikan setelah ditauliahkan dalam Rejimen Askar Wataniah pada Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES DARAT Universiti Awam Ke-40 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 9 September 2023 lalu.
Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 39 orang dari Batch 15 telah bekerja di pelbagai syarikat multinasional seperti INTEL, INFINEON dan INARI serta seramai sembilan orang masih meneruskan pengajian di UniMAP.
“Saya amat berharap nama UniMAP tidak pudar serta ditempatkan dalam sudut yang istimewa dalam jiwa pegawai muda sekalian walaupun telah melangkah ke alam pekerjaan.
“Malah Pegawai Muda harus sentiasa mempamerkan imej dan mutu disiplin diri yang tinggi serta profesional dalam tindak tanduk dan gerak geri semasa beruniform ataupun tidak,” katanya.
Beliau juga turut menasihati pegawai muda agar menjauhkan diri dari semua gejala-gejala yang tidak sihat serta senantiasa mengamalkan nilai-nilai murni bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan agar PALAPES UniMAP dapat ditonjolkan sebagai pasukan yang berkredibiliti, berdisiplin tinggi dan disegani oleh masyarakat umum.
Sementara itu, lima pegawai muda dipilih menerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UniMAP 2023 selepas cemerlang sepanjang latihan mereka.
Bagi Anugerah Pegawai Kadet (Keseluruhan) Terbaik PALAPES UniMAP dinobatkan kepada Leftenan Muda Muhammad Badruzzaman Ali; Anugerah Pegawai Kadet (Ketenteraan) Terbaik PALAPES UniMAP diraih Leftenan Muda Mohammad Asyraaf Mohd Roslan; diikuti Anugerah Pegawai Kadet (Akademik) Terbaik PALAPES UniMAP dimiliki Leftenan Muda Tan Yu Xuan.
Manakala Anugerah Pegawai Kadet (Kepimpinan) Terbaik PALAPES UniMAP pula dinobatkan kepada Muhammad Azim Fahmi Ruslan; dan Anugerah Pegawai Kadet (Ketabahan) Terbaik PALAPES UniMAP milik Leftenan Muda Azzie Shafareena Mohd Azlan.