DUA PENYELIDIK WANITA UniMAP TERIMA BIASISWA PASCADOKTORAL EU

Oleh: Nurul Aida Othman
 
PAUH PUTRA, 20 Februari 2023 - ‘Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia’ adalah peribahasa terbaik untuk diberikan kepada dua penyelidik wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila dipilih menerima biasiswa pascadoktoral Kesatuan Eropah (EU) seperti diumumkan baru-baru ini.
 
Mereka masing-masing dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK), Prof. Madya Dr. Zunaida Zakaria dan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Awam (FKTA), Prof. Madya Dr. Zarina Yahya adalah antara 43 peratus penyelidik wanita yang berjaya menerima biasiswa tersebut.
 
Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian mereka sangat membanggakan kerana dari seramai 7044 calon yang memohon, hanya 1235 terpilih dan di peringkat ASEAN pula hanya lapan orang dipilih.
“Mereka berdua adalah antara enam rakyat Malaysia yang menjadi penerima biasiswa tersebut diikuti masing-masing seorang dari Singapura dan seorang dari Indonesia.
 
“Ini merupakan julung kali pensyarah UniMAP menerima biasiswa daripada Kesatuan Eropah dalam skim pascadoktoral,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.
 
Tambah beliau, projek-projek yang dipilih merangkumi semua disiplin saintifik iaitu sains sosial dan kemanusiaan (24.5%), sains hayat (21.3%), sains maklumat dan kejuruteraan (13.9%), kimia (13.8%), fizik (11.6%), alam sekitar dan geosains (10.9%), matematik (2.2%) dan sains ekonomi (1.9%).
 
“Dr. Zunaida Zakaria akan menjalankan projek Penjelasan Proses Penghabluran Dalam Percetakan 3D Fff Menggunakan Teknik Pengimejan Terma Ir Keatas Sisa Plastik di Universiti Malta seliaan Dr Arif Rochman untuk tempoh dua tahun dengan objektif keseluruhan projek adalah untuk membangunkan pendekatan eksperimen dan metodologi yang inovatif untuk analisis imej data dalam memerhati dan mengawal proses penghabluran sisa plastik semasa proses kitar semula.
 
“Manakala Dr. Zarina Yahya pula akan bersama Dr. Ana Brass sebagai penyelia di Liverpool John Moores University United Kingdom bagi menjalankan penyelidikan mengenai konkrit tanpa simen (geopolimer) yang menggunakan konsep biomineralisasi iaitu penambahan bakteria dalam konkrit,” katanya.
 
Ujar Prof. Dr. Zaliman, mekanisme di antara bakteria dengan proses pengaratan besi tetulang dalam konkrit akan dikaji dan dibandingkan dengan konkrit biasa. Selain itu, prestasi konkrit ini dari segi kebolehan sembuhan sendiri juga akan dikaji.
 
“Kejayaan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan keterlihatan UniMAP dipersada antarabangsa dan ini adalah selari dengan hasrat universiti untuk melihat warganya mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang dalam dan luar negara.
 
Terdahulu, dua penyelidik UniMAP yang pernah menerima geran daripada Kesatuan Eropah ialah Prof. Madya Dr. Noorhafiza Mohammad dan Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
 
“Dr. Noorhafiza menerima dana penyelidikan Capacity building in Higher Education (CBHE) dibawa skim ERASMUS+ pada tahun 2022 manakala Prof. Dr. Mohd Mustafa menerima geran penyelidikan Marie Skłodowska Curie Actions (MSCA) dalam bidang pertukaran staf pada tahun 2016.
 
“Prof. Dr. Mohd Mustafa merupakan Naib Pengerusi Persatuan Alumni Marie Curie (MCAA) Chapter ASEAN iaitu satu pertubuhan bukan berasas keuntungan (NPO) yang ditubuhkan dan disokong oleh Kesatuan Eropah tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh ahli sukarelawan dan dengan pendekatan bawah ke atas pada terasnya,” katanya.
 
Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Mustafa berkata, setiap tahun MCAA akan bersidang bagi mengumpul semua chapter yang berdaftar bagi memilih barisan kepimpinan utama diikuti pemilihan peringkat chapter.
 
“MCAA merupakan komuniti alumni yang pernah menerima pembiayaan dibawah dana Marie Skłodowska Curie Actions (MSCA).
 
“Persidangan Tahunan dan Perhimpunan Agung MCAA tahun 2023 telah diadakan pada 24-25 Februari bertempat di Cordoba Sepanyol,” katanya.