Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PRAI, 1 Februari – Dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dalam kalangan pekerja industri, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalinkan kerjasama dengan sebuah industri pembuatan elektronik, di sini hari ini.
Jalinan kerjasama dimerterai menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara UniMAP dan Molex (M) Sdn Bhd itu dengan diwakili Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli manakala Molex diwakili Pengarah Operasi , Jason Choi.
Prof Dato’ Ts Dr Zaliman berkata kerjasama berkenaan berada dalam landasan yang baik dalam memperkasakan PSH dalam kalangan kakitangan Molex dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran staf dalam bidang berkaitan.
“Pada tahun 2023, UniMAP telah menawar dan melengkapkan program Diploma Profesional Teknologi Kejuruteraan Industri kepada 18 staf Molex dan mereka berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-18 pada 21 November 2023 yang lalu.
“Kini, UniMAP dan Molex ingin meneruskan lagi kerjasama program profesional dengan tujuan peningkatan kemahiran staf khususnya dalam disiplin Pembuatan (Manufacturing). Hasrat ini juga adalah selari dengan halatuju Molex sendiri dalam memperkasakan Environmental, Social and Governance (ESG),” kata beliau dalam kenyataannya selepas melancarkan Program Diploma Teknologi Industri diiringi Jason Choi.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail, Pengarah Sumber Manusia Molex Mohamed Faisal, serta Pengarah Pusat Pembangunan Profesional dan Pembelajaran Berterusan (PDCE) UniMAP Prof Madya Dr Nasrul Hamidin.
Tambah beliau kerjasama ini juga adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) (melalui Lonjakan 3 Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat), Sustainable Development Goals 2030 (SDG) (melalui SDG 4 – Education) dan Halatuju UniMAP 2025 dengan merujuk kepada Teras Akademik dan Kelestarian Kewangan.
“ Oleh itu, cadangan dalam mewujudkan program formal (profesional) dijangka mampu meningkatkan kompetensi mereka disamping melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di menara gading,” kata beliau.