WIRA TVET NEGARA RAIH PINGAT EMAS CANSELOR

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof 

PAUH PUTRA, 18 November – Penerima Anugerah Wira Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara membuktikan kecemerlangannya dalam akademik serta ko-kurikulum apabila meraih Anugerah Pingat Emas Canselor sempena Istiadat Konvokesyen 18 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Siswazah berkenaan, Abdul Khalim Al Azizi Syahril menerima Pingat Emas Canselor yang dikurniakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP pada Sidang Satu istiadat itu yang bermula hari ini.

Abdul Khalim Al Azizi, 25, berkata penglibatannya dalam bidang TVET sehingga ke luar negara menjadi antara faktor kecemerlangannya sehingga berjaya meraih pingat itu.

“Pada tahun lalu, saya telah dipilih sebagai salah seorang daripada dua wakil mahasiswa dalam Ahli Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

“Saya kemudiannya diberi peluang menerima Anugerah Wira TVET Negara berdasarkan sumbangan, jasa dan pencapaian dalam bidang TVET serta menjadi penerima tunggal yang masih bergelar mahasiswa daripada 10 penerima yang lain,” katanya yang menerima skrol Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) yang disempurnakan Pro Canselor Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Sidang Dua, hari ini.

Istiadat Konvokesyen 18 UniMAP yang bermula hari ini hingga 21 November menyaksikan 3,555 graduan akan bergraduasi dengan disempurnakan oleh Canselornya, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dato' Sri Sufri Bin Hj. Mhd Zin, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UniMAP, Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti.

Tambah Abdul Khalim Azizi antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah menjadi wakil tunggal mahasiswa ke UNESCO World Higher Education Conference 2022 (WHEC 2022) di Barcelona Sepanyol.

“Penglibatan saya dalam bidang TVET sudah pastinya memberi input tentang gambaran baharu dalam usaha menjadikan TVET sebagai pilihan pertama anak muda di Malaysia.

“Ia sekaligus memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi,nama serta imej kepada universiti sebagai salah satu universiti teknikal terbaik Malaysia,” katanya yang juga aktif dalam Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) UniMAP.