KERJASAMA FKTK UniMAP & CIDB TECHNOLOGIES SDN. BHD LAHIRKAN TENAGA MAHIR


Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
 
PAUH PUTRA, 16 Februari 2023 – Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkukuh hubungan dengan CIDB Technologies Sdn. Bhd sebagai usaha melahirkan tenaga mahir dan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
 
Dalam memorandum perjanjian yang dimeterai itu, pihak CIDB Technologies Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Mohamad Darus bin Taib, manakala UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya iaitu Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli.
 
Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata seramai enam tenaga pengajar dari FKTK telah mengikuti program Pembangunan Pengajar (ToT) dalam mendapatkan pensijilan profesional dalam bidang NDT yang dianjurkan oleh CIDB Technologies Sdn. Bhd yang diketuai Pengerusi Rancangan Kejuruteraan Bahan FKTK Ir. Dr. Juyana A Wahab.
 
“Kerjasama yang terbentuk dengan anak syarikat kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia itu ialah lebih memfokuskan kepada program upskilling dan reskilling sama ada untuk tenaga pengajar atau para pelajar FKTK UniMAP yang memfokuskan kepada bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT).
 
“Selain daripada staf, seramai lebih 40 orang pelajar Jabatan Bahan turut terlibat dengan beberapa siri latihan bersama dengan CIDB Technologies serta kerjasama yang terbentuk juga mengkhususkan kepada aktiviti penyelidikan dan saling bertukar idea mahupun pandangan terutamanya dalam bidang Kejuruteraan Bahan & Metalurgi,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.
 
Sementara itu, Dekan FKTK Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata pihak UniMAP melalui FKTK kini dalam proses untuk mengadakan Makmal NDT yang akan dikendalikan operasinya sendiri oleh tenaga pengajar UniMAP yang telah menjalani latihan di CIDB Technologies.
 
“Kita mensasarkan untuk mendapat akreditasi makmal daripada pihak berwajib. Makmal ini akan digunakan untuk tujuan pengajaran dan penyelidikan di UniMAP selain memberi perkhidmatan pengujian kepada orang luar.
 
“Di samping itu, kerjasama yang dimerterai itu juga akan memberi nilai tambah kepada pelajar sekaligus memberi pendedahan kepada mereka terhadap industri sekaligus mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan selepas mereka bergraduasi kelak selari dengan agenda utama yang digariskan Menteri Pendidikan Tinggi iaitu pemerkasaan mahasiswa ,” katanya.
 
Terdahulu, UniMAP komited memperkasakan jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat dan industri dalam usaha memastikan program yang ditawarkan di universiti berteraskan kejuruteraan itu relevan dengan pasaran kerja semasa.
 
Ia dilaksanakan secara berterusan oleh setiap fakulti dan jabatan di UniMAP bagi membantu pelajar universiti itu mendapat tempat di sektor pekerjaan.