PUSAT TVET UniMAP TERIMA ANUGERAH MALAYSIA’S BEST FOR PROFESSIONAL TVET CERTIFICATION META 2023

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 5 Oktober 2023 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah apabila Pusat TVET universiti berkenaan dianugerahkan Malaysia’s Best for Professional TVET Certification dalam Malaysia Education & TVET Awards (META) 2023.

META 2023 yang diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Tuan Mustapha bin Sakmud.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli hadir bagi menerima anugerah tersebut diiringi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry bin Abdul Majid dan Pengarah Pusat TVET UniMAP, Prof. Ts. Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.

META 2023 bermatlamat untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada entiti pendidikan, perniagaan dan personaliti di Malaysia yang telah berjaya dengan cemerlang dalam menawarkan pendidikan formal terbaik.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana ia membuktikan kemampuan UniMAP dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang seiring dengan cetusan revolusi perindustrian 4.0.

“Lebih-lebih lagi TVET dilihat menjadi antara pemangkin bagi kerajaan memenuhi keperluan industri di Malaysia”, katanya.

Pengiktirafan ini juga termasuk kepada institusi atau jabatan yang menawarkan pendidikan atau latihan dalam bidang ‘Technical and Vocational Educational and Training’ (TVET).

TVET telah menjadi antara agenda utama dalam pendidikan di Malaysia yang diperkenalkan untuk memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

Di UniMAP, usaha dalam menyokong agenda negara ini telah dimulakan dengan penubuhan program-program akademik yang mempunyai banyak elemen kemahiran iaitu Diploma Kejuruteraan, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Muda Teknologi.