KONVO 18 : UniMAP TAJA SISWAZAH PALESTIN SAMBUNG PENGAJIAN

 

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 19 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia memberi tajaan melanjutkan pengajian kepada siswazah Palestin yang bergraduasi pada Sidang Tiga Istiadat Konvokesyen 18, universiti itu.

Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli mengumumkan perkara berkenaan menerusi ucapan beliau selepas sesi pengurniaan ijazah kepada 484 siswazah Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE) yang disempurnakan oleh Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Katanya, UniMAP menawarkan Mohanad.B.A Qubtan melanjutkan pengajian Sarjana Sains Kejuruteraan Mekatronik dan universiti akan membiayai yuran pengajian dan elaun bulanan selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang diumumkan baru-baru ini.

“Saya percaya, pendidikan adalah kaedah terbaik bagi mengatasi segala permasalahan. Marilah kita sama-sama mendoakan Palestin kembali aman dan saudara kita ini dapat pulang bertemu keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan sesi penyerahan surat tawaran kepada Mohamad B.A Qubtan selepas selesai Sidang Tiga, hari ini.

Terdahulu, Mohanad B.A Qubtan berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik selama empat tahun di UniMAP dan dalam tempoh berkenaan beliau tidak pulang ke Gaza, Palestin bagi memberi tumpuan terhadap pengajian di samping kekangan kewangan.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memaklumkan bahawa perbelanjaannya bergantung kepada geran penyelidikan dan pendapatan ibunya yang bekerja sebagai guru tuisyen di Gaza manakala bapanya tidak dapat bekerja kerana pelbagai faktor.

Beliau berkata berasa lega kerana dapat menghubungi keluarganya sebelum naik ke pentas menerima skrol Ijazahnya pagi tadi.

“Situasi tidak menentu sekarang menyebabkan adakalanya saya tidak dapat menghubungi mereka namun berasa lega pagi ini dapat menghubungi mereka dan mendapat ucapan tahniah daripada keluarga,” katanya ketika ditemui, di sini.

Qubtan berkata dia bersyukur kerana kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UniMAP prihatin dengan pelajar Palestin yang menuntut di negara selain berharap adiknya juga dapat melanjutkan pengajian di UniMAP memandangkan universiti tempat adiknya menuntut di Gaza sudah musnah dibom.