Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 20 Oktober 2023 - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli menggesa penyelidik universiti tersebut supaya keluar dari zon selesa dan mencabar diri dengan menyertai sektor perindustrian melalui program ‘sangkutan’ yang dijalankan.
Mereka boleh bergerak melalui pusat kecemerlangan (CoE) universiti masing-masing yang menjadi medium penghubung kolaborasi selari seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghubungkan pihak industri dengan ahli akademik.
Katanya, melalui program ‘sangkutan’, pergilah berkongsi kepakaran bersama industri dan sumbangkan kepakaran anda demi kemajuan sektor perindustrian negara.
“UniMAP mempunyai 14 Pusat Kecemerlangan (CoE) dan dua institut penyelidikan yang layak memohon pengiktirafan dan pembiayaan khas daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadi Higher Centre of Excellence (Hi-CoE) yang bertindak sebagai menerajui penyelidikan dalam bidang tujahan.
“Oleh itu, CoE harus bekerjasama dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain dan berkolaborasi bersama industri bagi membolehkan penyelidik UniMAP menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Geran Penyelidikan Dan Sijil Penubuhan Pusat Kecemerlangan (COE)/Institut yang diadakan di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ir Dr. Mohd Shukry Abdul Majid; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rizalfande Che Ismail; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Pada majlis sama, seramai 179 penyelidik dari lima kategori anugerah diraikan atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam penyelidikan.
Lima kategori termasuk Dana Geran Penyelidikan Dalam, Antarabangsa & Industri; Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Fasa 1/2023; Sijil Penarafan Myra 2019 & 2020; Top Research Scientists Malaysia (TRSM); dan The World’s Top 2% Scientists by Stanford University.