PENYELIDIK UniMAP CEMERLANG DI IPITEx 2023


Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA , 7 Februari 2023 - Seramai 28 penyelidik UniMAP yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar berjaya meraih 100% pingat di Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2023).

Penyelidik UniMAP memperolehi enam Emas, 17 Perak dan 5 Gangsa di pertandingan inovasi yang diadakan pada 2 hingga 6 Februari 2023 itu di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Thailand.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato' Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata delegasi UniMAP disertai lebih 70% saintis wanita dan merupakan penyelidik baharu bagi menyahut saranan kerajaan dalam isu kesamarataan jantina dalam bidang sains di Malaysia.

Ujar beliau, ia menjadi keutamaan kepada UniMAP dan dalam masa yang sama membuka ruang kerjasama yang lebih besar terutamanya dengan rakan ASEAN yang lain.

“Dua penyelidik UniMAP turut dinobatkan anugerah utama daripada penganjur iaitu Leong Kean Wei jurutera pengajar di Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal yang meraih Asean Excellence Invention & Innovation Award dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Prof. Madya Dr. Norsuria Mahmed yang berjaya memperolehi NRCT Special Award,” kata beliau.

Pameran yang disertai oleh lebih 25 buah negara ini dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Prof. Anek Laothamatas. Pameran ini dianjurkan sempena Thailand Inventors Day anjuran National Research Council Thailand (NRCT).

Antara negara yang menyertai selain tuan rumah dan Malaysia adalah Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Filipina, Laos, Poland, Romania, Arab Saudi, Japan, Rusia dan beberapa negara besar yang lain.

Sementara itu Ketua delegasi UniMAP yang juga Dekan FKTK Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata sempena pameran berkenaan FKTK meletakkan fokus kepada mempertingkatkan hubungan akademik dan penyelidikan dengan negara ASEAN dan sesuai dengan teras fakulti yang memfokuskan kepada kepada program-program ke arah 'International Research Visibility Outreach'.

“Dalam masa yang sama juga, FKTK UniMAP berjaya menganjurkan persidangan World Integrated Chemical & Materials Engineering Technology Conference (WiCMETC 2023) buat pertama kali pada 4 hingga 5 Februari 2023 di Hotel Avana Bangkok Thailand yang diketuai pengerusi WiCMETC, Prof. Madya Dr. Hakimah Osman.

“Penganjuran julung kali ini berjaya menerima lebih daripada 70 artikel daripada beberapa negara antaranya United Kingdom, Indonesia, Korea, Thailand, Oman, Brunei dan beberapa negara lain,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Penganjuran WiCMETC 2023 turut mendapat kerjasama daripada Papua New Guinea University of Technology dan King Mongkut University of Technology Thornburi Thailand yang memberi fokus kepada dua bidang utama fakulti iaitu Kimia dan Bahan selari dengan hasrat fakulti untuk menjadi Top 300 Dunia dalam bidang Kimia pada 2030.