PROGRAM PEMINDAHAN ILMU ANTARABANGSA UniMAP BANTU KOMUNITI SATUN, THAILAND

ARAU, 13 Jun - Kumpulan penyelidik daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya menganjurkan Program Tanggungjawab Inovasi UniMAP untuk Komuniti Antarabangsa [UniMAP Innovation Responsibility for International Society ( IRIS 1.0)] di Satun, Thailand, baru-baru ini.

Program IRIS 1.0 yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail ini berobjektifkan pemindahan ilmu dan teknologi (knowledge transfer) daripada UniMAP kepada  sekolah, agensi kerajaan, swasta atau pertubuhan NGO dalam menjalankan projek inovasi di peringkat antarabangsa. 

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata program selama dua hari ini telah dijalankan dalam komuniti pelajar-pelajar sekolah Menengah dan Rendah serta penduduk kampung di daerah Satun, Thailand. 

Geran dalaman khas yang diketuai oleh Dr Mahyun Ab Wahab dan Timbalan Pendaftar Kanan, Raja Shah Erman Raja Ariffin ini membuktikan kerjasama yang baik dapat direalisasikan walaupun dibarisi oleh penyelidik yang berlainan jawatan dan pangkat. 

Penganjuran dianjurkan bersama oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Awam (FKTA) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) .

“Antara program yang dijalankan adalah Stable & Sustain Structure Competition (3SC) iaitu pertandingan membina jambatan yang stabil, kukuh dengan menggunakan surat khabar di Sekolah Tinggi, Phimanphitthayasan. Manakala di Sekolah Ban Khuan, program Young Environmental Camp (YEC) iaitu Program Pemindahan Ilmu (KTP) menggunakan modul ‘water awareness’ telah dilaksanakan dengan diketuai oleh Pusat Kecemerlangan (CoE) Water Research and Environmental Sustainability Growth (WAREG),”kata Prof. Ir. Dr Rizalafande.

Menurut beliau lagi program ini berjaya menarik minat 100 pelajar di kedua-dua buah sekolah tersebut serta mampu meningkatkan minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).   

“Saya percaya melalui program sebegini kita dapat berkongsi kepakaran dan inovasi kejuruteraan yang ada pada penyelidik UniMAP kepada masyarakat antabangsa. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan dan memberi fokus kepada masyarakat ditempat lain pula,”ujarnya lagi.

Seiring dengan matlamat pengantarabangsaan universiti, IRIS juga dapat mewujudkan satu jaringan strategik antara UniMAP dan masyarakat antarabangsa dalam pelbagai aspek kerjasama yang berteraskan pendidikan dan pembangunan komuniti melalui inovasi.

Sementara itu, program juga turut dilaksanakan di Masjid Misbahuddin dimana delegasi UniMAP turut menghasilkan kerusi, meja dan pasu bunga menggunakan teknik Ferro-cement yang diketuai oleh Prof. Madya Dr Khairul Nizar. 

Hasil inovasi berkenaan dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat serta 50 pelajar yang hadir ke kelas agama pada setiap hujung minggu. Selain itu, program sukaneka dan gotong royong memasak bersama masyarakat setempat juga turut diadakan.

Parichart Nung a ii, 17, tidak ketinggalan berkongsi rasa teruja dangn program yang diadakan disekolahnya itu.

Menurutnya, program seperti ini dapat membuka minda pelajar untuk berfikir cara dan teknik yang terbaik untuk diaplikasikan semasa membina jambatan yang lebih kukuh selain memupuk minat pelajar dalam bidang fizik serta kejuruteraan.

“Ini merupakan program yang pertama melibatkan pemindahan ilmu dan teknologi daripada universiti , saya dan rakan-rakan teruja untuk menyiap jambatan tersebut dan tidak sangka berjaya memperolehi tempat pertama daripada 10 kumpulan yang menyertainya,” katanya yang merupakan pelajar aliran sains Sekolah Tinggi, Phimanphitthayasan.

Beliau sangat berharap program pemindahan ilmu sebegini dapat dilaksanakan lagi selepas ini serta berpeluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di UniMAP.