PUSAT TVET UniMAP DAPAT PENGIKTIRAFAN MBOT


Oleh: Nurul Aida Othman
 
PAUH PUTRA, 28 Februari 2023 - Pusat Technical and Vocational Education and Training (TVET) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima pengiktirafan sebagai Malaysia Board of Technologist (MBOT) Approved Training Provider (ATP) oleh MBOT, baru-baru ini.
 
Ia adalah pengiktirafan berikutan Pusat TVET UniMAP telah secara rasmi mendaftar sebagai ATP MBOT pada 23 Februari 2023 yang membolehkan pusat ini menjalankan 14 jenis aktiviti yang boleh menyumbang kepada mata Continuing Professional Development (CPD) bagi Teknologis (Ts.) dan Juruteknik Bertauliah (Tc.).
 
Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah penganjuran kursus, latihan, bengkel; penganjuran kongres, persidangan, seminar, simposium, penganjuran projek praktikal berkaitan teknikal atau teknologi, penganjuran aktiviti tanggungjawab sosial kepada komuniti dan penganjuran aktiviti soft-skill berkaitan pengurusan dan kepimpinan.
 
 
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Saul, Pusat TVET UniMAP juga dibenarkan untuk menggunakan frasa “MBOT Approved Training Provider” dan menggunakan logo MBOT untuk tujuan promosi. Malah, nama Pusat TVET UniMAP akan dipaparkan di laman sesawang dan portal CPD MBOT.
 
“Ini adalah antara langkah awal yang diambil oleh Pusat TVET UniMAP dalam visi menjadi antara peneraju Pusat Latihan TVET Malaysia amnya, dan di Perlis khususnya.

“Malah kami menyasarkan untuk terus mengembangkan kerjasama dengan industri dan institusi TVET lain dalam mengangkat martabat lepasan TVET agar dapat menyumbang dengan lebih bermakna kepada kemampanan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
 
Tambah beliau, sebagai satu entiti pemerkasaan atribut dan profil bakal graduan TVET, Pusat TVET telah menetapkan enam teras iaitu Latihan, Akademik, Produk, Perkhidmatan, Perundingan, dan Komuniti.
 
“Sehingga Februari 2023, terdapat sembilan (9) Makmal Industri, tiga (3) Kilang Mengajar dan dua (2) Bengkel Kluster Kemahiran di bawah pengurusan Pusat TVET UniMAP.
 
“Antara industri yang berkolaborasi dengan Pusat TVET UniMAP ialah Cisco Systems (M) Sd. Bhd., Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd., NI Malaysia Sdn. Bhd., Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd., Siemens Malaysia Sdn. Bhd., Festo Sdn. Bhd., NanoMalaysia Bhd. dan Tessolve Semiconductor Sdn. Bhd.,” katanya.
 
Ujarnya lagi, makmal-makmal Industri di Pusat TVET menawarkan program Pensijilan Profesional kepada pelajar-pelajar dan staf UniMAP, orang luar sama ada pelajar atau staf institusi pengajian tinggi dan sekolah, pekerja industri dan juga orang perseorangan.
 
“Program Pensijilan Profesional ini merangkumi kompetensi yang diperlukan oleh industri mengikut bidang tertentu seperti elektronik, automasi industri, internet of things dan telekomunikasi.
 
“Latihan ke arah pensijilan profesional ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan, juga untuk upskilling dan reskilling dalam kalangan tenaga pengajar institusi/sekolah dan juga pekerja industri,” katanya.
 
Selain itu, makmal industri dan kilang mengajar, UniMAP turut menitik beratkan bidang-bidang kemahiran asas TVET yang menjadi pemangkin kepada perkembangan kemahiran sehingga kini.
 
“Bengkel kimpalan dan pendawaian elektrik asas adalah antara bengkel yang digunakan untuk menawarkan kemahiran asas kepada pelajar dalam dan luar UniMAP. Malah fasiliti bengkel yang lengkap dan luas adalah kelebihan yang dipunyai oleh Pusat TVET UniMAP dalam memastikan latihan dapat diberikan dengan komprehensif dan selesa.
 
“Selain Makmal Industri, Pusat TVET UniMAP turut mempunyai 3 kilang mengajar iaitu Kilang Mengajar UniMAP-Additive Manufacturing yang mempunyai 22 unit mesin pencetak 3-Dimensi (3D Printer) di mana 9 unit adalah beroperasi secara automasi, Kilang Mengajar UniMAP-Printed Circuit Board dan Kilang Mengajar UniMAP-Oppstar Integrated Circuit Design yang mampu melaksanakan dan menawarkan latihan industri dan prasarana work-based learning (WBL),” katanya.
 
Tambah Prof. Dr. Zaliman, Pusat TVET ini adalah entiti penting sebagai pemangkin salah satu objektif strategik UniMAP 2025 bagi memperkasakan program TVET yang telah menjadi agenda utama dalam pendidikan di Malaysia.
 
“Selain penubuhan Pusat TVET, UniMAP sendiri dalam usaha menyokong agenda negara telah menawarkan tiga program akademik yang mempunyai elemen kemahiran iaitu Diploma Kejuruteraan; Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan; dan Sarjana Muda Teknologi,” katanya.
 
 
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, 50% daripada jam pembelajaran diperuntukkan untuk elemen praktikal di mana pelajar-pelajar yang mengikuti program ini juga menjalani Latihan Industri (LI) selama 6 bulan (berbanding pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan yang hanya menjalani LI selama 10 minggu) dan mereka menjalani LI ini di penghujung pengajian iaitu di semester terakhir.
 
“Kaedah pembelajaran Work-Based Learning (WBL) pula diterapkan dalam program Sarjana Muda Teknologi dan mereka akan berada di industri selama satu tahun untuk menjalani kursus-kursus yang dijalankan di industri, dipantau oleh Jurulatih Industri dan juga pensyarah.

“Selain itu, kursus-kursus keusahawanan yang menjadi antara elemen penting dalam TVET, turut diterapkan dalam program ini dan mereka dibimbing untuk menjadi usahawan teknologi dan menubuhkan syarikat sendiri seawal tahun kedua pengajian,” katanya.
 
Untuk kedua-dua jenis program di atas, kursus-kursus yang bersesuaian telah turut ditambah dengan silibus pensijilan profesional yang membolehkan pelajar-pelajar yang mengikuti kedua-dua jenis program ini untuk turut mendapat sijil professional di samping memperolehi Ijazah Sarjana Muda apabila bergraduat dan antara sijil professional yang diperolehi ialah daripada Cisco, Huawei, Keysight, Festo, Siemens dan National Instruments.
 
Untuk rekod, Pusat TVET UniMAP ditubuhkan pada 1 September 2022 lalu bagi pemberian latihan, pemberian perkhidmatan, pengeluaran produk, menyokong program akademik universiti, menjalankan perundingan dan memberikan khidmat kepada komuniti.