Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 5 Februari 2023 - Penganjuran Majlis Hi-Tea Limpahan Kasih PISKANITA UniMAP dan A-HEART UniMAP mencapai sasaran apabila berjaya mengumpulkan dana lebih RM130 ribu bagi membantu kanak-kanak Autisme di bawah kendalian Autism Hub for Educational Resources & Training atau singkatannya A-HEART Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Majlis amal bertemakan ‘Limpahan Kasih’ itu dihadiri lebih 300 tetamu termasuk kanak-kanak autisme bersama-sama ibu bapa masing-masing selain turut menampilkan Anuar Zain sebagai artis jemputan yang menyampaikan lima lagu popularnya iaitu Keabadian Cinta; Sesucinya Cintamu; Lelaki Ini; Bila Resah; dan Sedetik Lebih.
Menurut Pengerusi Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) UniMAP, Datin Azliza Ahmad, PISKANITA sangat terharu dengan sambutan yang diterima dari pelbagai pihak bagi mengumpul dana untuk meningkatkan kesejahteraan anak autisme.
“Kita amat bertuah kerana MyUS Group of Companies dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) masing-masing telah menyumbang sejumlah RM40 ribu dana kepada A-HEART bagi meningkatkan peluang serta kemudahan terapi cara kerja dan terapi deria kepada anak-anak autisme dalam kalangan ahli keluarga warga UniMAP dan komuniti Perlis.
“Malah Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga telah menyumbang dana pembangunan anak-anak autisme berjumlah RM20 ribu dan kami di PISKANITA dan A-HEART komited untuk memanfaatkan sumbangan dana tersebut untuk meningkatkan kesejahteraan anak-anak autisme di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini, petang semalam.
Berangkat hadir pada majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad; Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies, Dato’ Nellson Young; dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Dato’ Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Ujar Datin Azliza, konsep kutipan dana adalah melalui tajaan dan jualan tiket secara individu atau berkumpulan dan dana yang diterima bermula dari RM3 ribu sehingga RM40 ribu.
“Pihak penganjur menghargai bentuk sumbangan yang diberikan oleh syarikat, industri, agensi dan individu melalui pembelian meja, penajaan meja, dan pelbagai bentuk bantuan serta sokongan.
“Terima kasih kepada penyumbang dan penaja secara keseluruhannya berjumlah 48 agensi sebagaimana logo yang telah dipaparkan di ruangan penghargaan serta tayangan layar,” katanya.
Tambahnya, tidak kira kecil atau besar sumbangan tersebut, ianya sangat bererti buat anak-anak autisme.
Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli turut menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan penganjuran majlis amal tersebut.
“Majlis ini merupakan cerminan komitmen UniMAP dalam menyumbangkan impak positif terhadap masyarakat sekaligus dibuktikan dengan kejayaan penganjuran yang menunjukkan kekuatan jaringan strategik antara universiti, PISKANITA dan A-HEART,” katanya.