MANTAN YDP MPP UniMAP DINOBATKAN ANUGERAH TOKOH SISWA UniMAP 2022

 

KANGAR, 15 Jun 2023 – Mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Anugerah Tokoh Siswa UniMAP sempena Anugerah Tokoh Siswa UniMAP (ATSU) 2022, baru-baru ini.

Abdul Khalim Al Azizi Syahril, 25,yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal terpilih untuk menerima anugerah berkenaan berikutan sumbangan dan penglibatan cemerlang beliau sehingga berjaya mengharumkan nama UniMAP.

Abdul Khalim Al Azizi berkata beliau menyifatkan anugerah berkenaan bukan kepada dirinya sahaja sebaliknya keluarga, pensyarah, barisan pegawai dan staf UniMAP serta rakan-rakan antara pendorong kuat beliau untuk bergiat aktif dalam pelbagai program.

Ujarnya, sepanjang tujuh tahun di UniMAP sejak mengikuti pengajian Diploma anugerah berkenaan merupakan antara kenangan paling berharga buatnya yang bakal bergraduasi pada November ini.

“Sudah tentu pengiktirafan ini juga adalah sebagai hadiah kepada saya yang bakal bergelar graduan UniMAP tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Tokoh Siswa UniMAP 2022, di sini.

Abdul Khalim Al Azizi menerima trofi, sijil dan wang tunai RM500 yang disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP, Prof Madya Ir Dr Arif Anuar Mohd Salleh, dan barisan MPP sesi akademik 2022/2023.

Selain dinobatkan Anugerah Tokoh Siswa UniMAP 2022, Abdul Khalim Al Azizi turut meraih Anugerah Kepimpinan Pelajar di majlis sama.

Penglibatan cemerlang Abdul Khalim Al Azizi sebelum ini turut mengiktiraf beliau sebagai Wira TVET Negara serta Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan SUKSIS, Anugerah Tokoh Siswa Maal Hijrah, Anugerah Kepimpinan Gemilang, Anugerah Ikon Versatil, Anugerah Khas Ketua Jabatan di samping kecemerlangan akademik dengan meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Dekan Kelas Pertama (tujuh semester).

Sementara itu, Zaliman berkata UniMAP menganjurkan ATSU 2022 adalah bagi mengiktiraf secara terus dan memberi galakan kepada mahasiswa yang telah mempamerkan kepimpinan melalui penglibatan secara langsung dalam pelbagai lapangan pembangunan insaniah yang menyumbang kepada penyerlahan potensi diri.

“ATSU juga merupakan salah satu platform yang digunakan untuk mengenalpasti pelajar untuk dicalonkan ke Anugerah Tokoh Siswa anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Sebanyak 123 penyertaan direkodkan dan kesemua pencalonan ini dicerakinkan kepada 30 penerima anugerah mengikut kategori dan satu anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa UniMAP 2022,” kata beliau ketika berucap merasmikan ATSU 2022.