MEMANUSIAKAN TEKNOLOGI UNTUK MANFAAT MASYARAKAT

 

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 4 September 2023 - Memanusiakan teknologi untuk masyarakat adalah perkara penting bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka agar ianya bergerak seiring. 

Walaupun teknologi dewasa ini dilihat semakin berkembang pesat dan menjadi katalis kemajuan negara namun tanpa perancangan dan tindakan yang tepat, ia tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh masyarakat. 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi , Prof Dr Azlinda Azman berkata kegagalan memanfaatkan kemajuan teknologi akan menyebabkan manusia ketinggalan sekaligus pembentukan masa depan yang menggabungkan manusia dan teknologi secara harmoni tidak akan tercapai.

“Satu lagi aspek penting dalam memanusiakan teknologi ialah membentuk pembangunannya dengan memupuk generasi baharu individu yang celik teknologi yang memiliki kompas moral yang kukuh. 

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memperkasakan pelajar, pendidik dan penyelidik dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi landskap digital yang sentiasa berkembang ini,” katanya ketika berucap merasmikan Global Trends in Engineering & Science Technology Congress (GTEST) mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail selaku Penasihat Kongres dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UniMAP Prof Madya Dr Naimah Ibrahim merangkap Ketua Pengerusi Kongres.

Tambah beliau, melalui institusi pengajian tinggi, pelajar dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengemudi landskap teknologi yang pesat berubah sambil menyemai dalam diri mereka rasa empati, kreativiti dan tanggungjawab sosial yang mendalam.

“Institusi pengajian tinggi juga harus sentiasa bekerjasama dengan pakar industri dan rakan kongsi antarabangsa untuk merapatkan jurang antara pembangunan teknologi dan keperluan masyarakat bagi memastikan setiap hasil penyelidikan dapat diterjemahkan ke dalam penyelesaian dunia sebenar, yang mampu menangani cabaran mendesak yang dihadapi oleh masyarakat masa kini.

“Dengan mempromosikan pendekatan antara disiplin, menerima pembelajaran sepanjang hayat, dan menggalakkan inovasi beretika, ia meletakkan asas untuk masyarakat berkembang maju selaras dengan teknologi,” kata beliau.

Terdahulu, beliau merasmikan GTEST 2023 anjuran UniMAP yang menghimpunkan persidangan-persidangan antarabangsa yang saban tahun dianjurkan setiap fakulti dan institut yang mempunyai pelbagai bidang tujahan utama seperti kejuruteraan bahan, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia, kejuruteraan awam & alam sekitar dan sains sosial di universiti itu.

Sementara itu, Prof Dato’ Dr Zaliman berkata GTEST 2023 yang membawa tema “Humanizing Technology for Society” dianjurkan bagi memberi penekanan penyelidikan dan pembangunan  teknologi & kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan masyarakat dan industri melalui kepakaran ahli-ahli akademik.

“Ia dianjurkan selaras dengan dasar pendidikan tinggi sedia ada yang akan ditambah baik termasuk memberi tumpuan kepada soal penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, menggalakkan pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat serta pengantarabangsaan sektor pendidikan seperti yang dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini.

Beliau berkata sempena penganjuran GTEST 2023 itu, turut diadakan Majlis Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniMAP dan TIIAME National Research University, Uzbekistan (TIIAME) dan Universitas Muhammadiyah Aceh, Indonesia (UNMUHA) serta Perjanjian Perlesenan Harta Intelek dengan Athanliz Innovations Sdn Bhd, iDeria Sdn Bhd, dan Rocksold Technology Solutions Sdn Bhd.