Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 16 Januari 2023 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa menitikberatkan elemen kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswanya bukan sahaja di peringkat nasional malahan di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, 12 mahasiswa dari enam fakulti UniMAP iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi menyumbang bakti dalam aktiviti sukarelawan menerusi UniMAP Global Outreach (UniGO) ke Malang,Indonesia bermula 11 Januari hingga 15 Januari baru-baru ini.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr Zaliman Sauli berkata penglibatan mahasiswa UniMAP melalui program UniGO anjuran Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP itu dapat mengembangkan potensi serta pengalaman mahasiswa UniMAP di peringkat global disamping secara tidak langsung sekaligus dapat mempromosikan UniMAP di persada antarabangsa.
Ujarnya, program UniGO ke Malang Indonesia ini adalah merupakan siri pertama program ini dimana siri seterusnya akan dikembangkan lagi ke negara seperti Thailand, Singapura, Romania, Poland dan Australia.
“Mahasiswa UniMAP dapat menyumbang bakti dalam aktiviti kesukarelawanan, aktiviti penerapan elemen sains, teknologi, matematik serta inovasi, aktiviti silang budaya dan aktiviti motivasi kepada pelajar - pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Program UniGO berkenaan diketuai Pengarah P3P UniMAP Prof. Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, dan Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Prof. Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Tambah beliau, dengan berkonsepkan aktiviti berkumpulan dibawah bimbingan Pegawai-pegawai P3P Mohd Hafiz Mohd Shokri dan Ahmad Mu’adz Nazari, mahasiswa UniMAP berkesempatan menganjurkan aktiviti kepada 120 pelajar sekolah rendah dan menengah iaitu Sekolah Dasar Surya Buana serta Sekolah Menengah Atas Surya Buana.
Sementara itu, Dr Mohd Arif berkata dalam rangka program UniGO itu juga, mahasiswa UniMAP berkesempatan terlibat dalam lawatan serta seminar akademik ke kampus Universitas Negeri Malang dan Universitas Brawijaya.
Menurut beliau, selain penglibatan mahasiswa UniMAP sebagai peserta seminar, seramai tujuh orang pensyarah UniMAP juga telah dijemput dalam memberi perkongsian ilmiah dalam penyelidikan dan kepakaran masing-masing di seminar yang dianjurkan oleh Universitas Negeri Malang dan Universitas Briwijaya ini.
“Selain daripada itu, semasa program ini mahasiswa UniMAP turut berkesempatan mempromosikan peluang menyambung pengajian di UniMAP kepada pelajar-pelajar sekolah di Malang, Indonesia,” katanya.