KERJASAMA UniMAP DENGAN SYARIKAT JEPUN BAKAL HASILKAN KENDERAAN ELEKTRIK UNTUK PASARAN JEPUN

 

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan bekerjasama dengan syarikat Jepun untuk menghasilkan kenderaan elektrik bagi pasaran negara matahari terbit berkenaan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata universiti berteraskan kejuruteraan itu melalui Pusat Kecemerlangan Automotif & Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) akan bekerjasama dengan Syarikat Fujii Engineering yang berpengkalan dari Suzuka City, Jepun.

“Syarikat berkenaan mempunyai pengalaman dan pengkhususan dalam penambahbaikan chasis kenderaan litar seperti Ferrari 330P4 (replica) dan juga kenderaan elektrik.

“Pada 2019 syarikat Fujii Engineering mula menghasilkan dan mengkomersilkan kenderaan mobiliti peribadi elektronik,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Kerjasama berkenaan dimerterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani beliau yang mewakili UniMAP manakala Fujii Engineering diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mitsuru Fujii yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Turut hadir Pengurus Bahagian Luar Negara Fujii Engineering, Takahashi Masanori, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) UniMAP Ir Ts Dr Razaidi Hussin dan Ketua COE Automotif UniMAP Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.

Tambah Prof Dato’ Ts Dr Zaliman, kerjasama berkenaan membabitkan bidang penyelidikan Automotif EV ( Kenderaan Elektrik ) termasuk berkongsi kepakaran dan juga latihan industri dimana UniMAP akan mula menghantar pelajar-pelajarnya ke Fujii Engineering Jepun bagi mengikuti latihan kerja menghasilkan produk yang akan dibangunkan bersama. 

Sementara itu Mitsuru Fujii berkata beliau memilih UniMAP berikutan komitmen dan minat yang tinggi ditunjukkan oleh para penyelidik pusat kecemerlangan UniMAP dalam sukan permotoran mendorong pihaknya menjalinkan kerjasama berkenaan.

Katanya, ia berikutan bagi merealisasikan misi syarikat Fujii Engineering untuk mencipta kenderaan elektrik yang paling kompetitif dari pasaran melalui kerjasama itu seterusnya dapat memasarkannya di Jepun serta negara-negara yang berpotensi di Asean. 

“Kami turut mencari pelajar UniMAP yang berkebolehan dan juga menggalakkan pertukaran dan pembangunan teknologi antara jurutera Jepun dan Malaysia di samping mahu menubuhkan pangkalan untuk pembangunan kereta lumba dan sukan di Malaysia untuk kegunaan autonomi taxi-penggerak , kenderaan perladangan yang akan diusahakan antara Fujii Enginering Jepun dan MoTECH UniMAP,” kata beliau.

Terdahulu, Prof Ir Ts Dr Shahriman berkata kejayaan dan pengalaman penghasilan Prototype Proton Saga Full EV, Motorsikal Hybrid Seri Perlis dan lain lain yang telah tular sebelum ini telah membuatkan Fujii Enginering Japan ingin bekerjasama untuk menghasilkan kenderaan EV untuk pasaran Jepun dan pasaran negara Asian terpilih. 

“COE Automotif UniMAP juga mempunyai beberapa projek untuk menghasilkan kenderaan elektrik untuk proses automasi dan mekanisasi industri industri perladangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh luar negara,” kata beliau.