KERJASAMA UniMAP, INSTITUT TEKNOLOGI SHIBAURA MAJUKAN KEJURUTERAAN BIOPERUBATAN

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof 

PAUH PUTRA, 22 September 2023 – Dalam usaha memajukan penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melebarkan langkah ke negara matahari terbit menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Kerjasama antara UniMAP dan Institut Teknologi Shibaura (SIT) dimerterai pada 22 September baru-baru ini secara dalam talian dengan UniMAP diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli manakala SIT pula diwakili Presidennya, Prof Dr Jun Yamada.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata kerjasama itu adalah sebagai inisiatif bagi memajukan penyelidikan dan inovasi dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.

Katanya, melalui MoU berkenaan UniMAP berhasrat untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan, memudahkan projek antara disiplin, mempromosikan program pertukaran, berkongsi akses kepada sumber, menganjurkan acara perkongsian pengetahuan, dan melibatkan diri dengan komuniti tempatan dan global untuk mencipta impak positif melalui inisiatif penyelidikan.

“MoU ini bukan sekadar sekeping kertas, tetapi komitmen terhadap masa depan penyelidikan dan pendidikan. Ia adalah janji untuk menolak sempadan pengetahuan dan memberi inspirasi kepada generasi pemikir,penyelidik dan pemimpin seterusnya,” katanya ketika berucap di majlis yang diadakan di Pejabat Naib Canselor Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, di sini.

Turut serta ialah Naib Presiden SIT, Professor Dr. Akito Takasaki, Pengurus Besar Bahagian Inisiatif Global, Mr. Masahiko Inoda, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Dr Mohd Shukry Abdul Majid,dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Professor Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

SIT merupakan institusi yang komited dalam memupuk saintis dan jurutera yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan mampan dunia.

UniMAP dan SIT merupakan ahli ‘Asia Technological University Network’ (ATU-NET) yang berkongsi matlamat yang sama untuk memupuk inovasi dan menyumbang kepada peningkatan masyarakat melalui penyelidikan dan pendidikan.