MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) DENGAN PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

 

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

ARAU, 2 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menguatkan lagi kemahiran dan pengetahuan graduan agar berupaya memenuhi keperluan industri.

MoU ini ditandatangani oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid bertempat di Pejabat Naib Canselor, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad  dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Operasi Cawangan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, “UniMAP juga bersetuju untuk bekerjasama dalam membuat penyelidikan dan membangunkan beberapa idea baharu bagi meningkatkan lagi kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan melalui akaun Simpan SSPN.

“Melalui MoU ini, UniMAP bersetuju untuk menyampaikan informasi atau promosi mengenai PTPTN menerusi medium hebahan yang bersesuaian dan papan iklan (billboard) PTPTN di dalam kawasan UniMAP.

“Selain itu, UniMAP bersetuju untuk memberi hadiah atau insentif kepada mana-mana kakitangan UniMAP yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime,” ujarnya.

Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN berkata, “PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited membudayakan agenda penabungan untuk perancangan kewangan rakyat Malaysia melalui Simpan SSPN di samping menyediakan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi. Hasrat PTPTN adalah untuk membantu ibu bapa dan pelajar agar mempunyai perancangan kewangan yang baik demi masa depan pendidikan agar tidak terbeban dengan hutang.” 

“Melalui perancangan kewangan, graduan tidak terlalu bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan untuk menampung kos pengajian mereka. Diharap dengan kerjasama ini dapat memberikan impak positif kepada PTPTN dan UniMAP dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai perancangan kewangan melalui Simpan SSPN,” tambah beliau lagi. 

Kerjasama yang terjalin antara PTPTN dan UniMAP ini menyokong usaha UniMAP sebagai sebuah universiti yang memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan serta telah mengambil pelbagai inisiatif untuk melengkapkan kecemerlangan akademik dan telah memasuki pelbagai perjanjian kerjasama dengan pihak-pihak lain.

MoU ini dapat dicapai menerusi pelbagai skop program antaranya ialah jaringan program kerjasama bersama alumni UniMAP dan juga penganjuran program yang bermanfaat kepada graduan UniMAP serta komuniti di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara UniMAP dan PTPTN selaras dengan slogan UniMAP for Society.