UniMAP SAHUT LIMA INISIATIF KPT LAHIRKAN BAKAT TERBAIK PASARAN KERJA NEGARA

Oleh: Aininulniza Binti Mohd Yusof

ARAU, 7 Jun 2023 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyahut inisiatif yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memenuhi iltizam Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan bakat terbaik untuk pasaran kerja negara.

Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata mengenai pelaksanaan sistem pendidikan secara anjal, UniMAP merancang pelaksanaan sistem pendidikan anjal bermula Semester Satu, Sesi Akademik 2023/2024 bagi tiga program pengajian dari Fakulti Pengurusan & Komunikasi iaitu Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu. 

Ujarnya, UniMAP membangunkan kerangka pendidikan fleksibel - University Flexible Education (UFEF) Framework. Di bawah kerangka ini pengajaran dan pembelajaran di UniMAP tidak lagi terikat dengan kaedah konvensional di mana penyampaian kursus-kursus akademik di UniMAP adalah secara pembelajaran teradun (PT)(kaedah pembelajaran yang melibatkan kaedah pembelajaran konvensional dan pembelajaran dalam talian) dan kursus akademik dan bukan akademik akan ditawarkan secara Micro-credential atau Massive Open Online Course (MOOC). 

“Bagi Semester Dua, sesi 2022/2023 sebanyak 30 peratus daripada kursus-kursus akademik yang ditawarkan di UniMAP disampaikan secara pembelajaran teradun,” katanya.

Beliau berkata, bagi inisiatif program pengajian dipendekkan daripada 4 tahun kepada 3 tahun, UniMAP telah pun sedia ada menawarkan program pengajian 3 tahun iaitu bagi program Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu. 

Sementara itu, kejayaan Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang diperkenalkan pada 2022 turut menyaksikan UniMAP melaksanakannya dengan membabitkan 10 pelajar universiti itu yang merupakan generasi pertama di dalam keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.

Oleh itu, menurut Zaliman selaras dengan inisiatif agar program SULUNG akan diteruskan KPT, UniMAP akan meneruskannya dengan mengenalpastilebih ramai pelajar yang layak untuk menerima manfaat yang telah disediakan menerusi program berkenaan.

Begitu juga dengan kemasukan ke asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) dengan keputusan asas dan masih boleh meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya, UniMAP bersedia menerima pelajar dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka yang memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan boleh memasuki program Asasi TVET dan seterusnya mendapat peluang yang luas untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda khususnya dalam bidang Teknologi Kejuruteraan di UniMAP,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program asasi TVET dan pemendekan tempoh pengajian kepada dua tahun bagi lepasan Diploma Politeknik,Zaliman berkata pihak UniMAP dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN)  telah mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Ujarnya, antara objektif utama ialah mengadakan atrikulasi program-program diploma kejuruteraan di Politeknik dan program-program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan di MTUN.

“Proses artikulasi bagi disiplin mekanikal dan pembuatan telah selesai diadakan. Proses artikulasi bagi disiplin-disiplin lain telah dirancang bagi membolehkan semua program-program di politeknik mendapat pemindahan kredit yang maksimum,” katanya.

Selain itu, Zaliman berkata UniMAP juga optimis memperkasakan latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) di universiti itu.

Katanya, UniMAP sedang membangunkan polisi baharu bagi membolehkan kedua-dua perkara itu dapat dijalankan di dalam universiti. 

“Dengan penubuhan Pusat TVET UniMAP yang diperkuatkan dengan 10 makmal Industri termasuk kerjasama dengan pihak industri utama, set kemahiran yang sama akan dapat diadakan kepada pelajar yang menjalankan Latihan industri dan WBL di industri,” katanya.

Beliau menambah,isu sama ada mahasiswa universiti berupaya memenuhi kehendak industri sering menjadi bualan semua pihak justeru bagi pihak industri, mahasiswa mestilah seorang tenaga kerja yang kompeten dan bersedia bekerja dengan kemahiran yang diperlukan oleh mereka manakala bagi pihak universiti pula, pengajaran dan pembelajaran mesti selari dengan kehendak industri dan infrastruktur mestilah lengkap dan selari dengan apa yang ada di industri.

“Mahasiswa pula harus bersedia mempersiapkan diri iaitu dengan mempunyai ilmu serta kemahiran yang diperlukan,” kata beliau.