UniMAP SEDIA SUMBANG KEPAKARAN JAYAKAN EEC THAILAND

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

ARAU, 6 Julai 2023 –  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menyumbang kepakaran dimiliki bagi menjayakan projek perdana Eastern Economic Corridor (EEC) yang merupakan perancangan besar Thailand untuk bergelar hab logistik di ASEAN.

Sebagai universiti yang terletak di  negeri sempadan negara, menjadi kelebihan kepada UniMAP menjalinkan kerjasama dengan negara Gajah Putih itu dalam meningkatkan hab logistik merangkumi pengangkutan darat, air dan udara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP, Prof Dr Mohd Yusoff Mashor berkata UniMAP berkepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan meliputi bidang elektronik, elektrik, awam, alam sekitar, mikroelektronik, biomedikal, mekatronik, bahan, kimia, polimer, pertanian dan banyak lagi. 

Ujarnya, dengan kepakaran yang ada ini UniMAP melihat begitu banyak peluang perkongsian kepakaran dalam pelbagai sektor boleh disumbangkan oleh UniMAP. 

“Antaranya adalah dengan membantu Thailand merealisasikan idea penggunaan ‘Bio-Circular-Green (BCG) Economy Model’ dan juga teknologi pintar bagi memudahkan perdagangan,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan aluan mewakili Naib Canselor UniMAP sempena program Syarahan Umum Duta Besar Malaysia Ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Berkenan berangkat hadir ke program berkenaan ialah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP.

Turut hadir ialah wakil-wakil Institut Pengajian Tinggi serta agensi Perlis.

Beliau berkata UniMAP sendiri mempunyai hubungan baik dan telah berkolaborasi dengan beberapa buah universiti di Thailand. Antaranya, Walailak University; Thaksin University; Nakhon Pathom Rajabhat University; Prince of Songkla University; Rajamangala University of Technology Srivijaya; dan Hatyai University. 

“Ini sekaligus menunjukkan bahawa UniMAP sudah pun memulakan langkah dengan meletakkan asas yang kukuh melalui kerjasama dengan pihak universiti di sana. 

“Oleh itu, saya berharap dengan kedatangan TYT ke UniMAP pada hari ini akan membuka jalan kepada UniMAP dan agensi lain di Perlis ini untuk melangkaui sempadan negara bagi melaksana jaringan kerjasama yang lebih luas dengan Thailand,” kata beliau.

Terdahulu, Datuk Jojie Samuel ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk “Malaysia-Thailand Bilateral Relations” berkata kunjungan beliau ke Perlis kali ini adalah yang terbaik bagi membicarakan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Thailand. 

“Ia adalah seiring dengan situasi politik terkini Thailand setelah proses pilihan raya umum Mei lalu dan lawatan Perdana Menteri ke Thailand beberapa bulan yang lalu,” katanya. 

Tambah beliau, Malaysia dan Thailand adalah negara yang kaya sumber alam dan Malaysia komited bekerjasama dengan Thailand bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang bakal memastikan keamanan dan keselamatan serantau sekaligus mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara. 

Tahun ini Malaysia dan Thailand bakal meraikan ulangtahun 66 tahun hubungan diplomatik yang terjalin sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.