UniMAP RAIH ANUGERAH DIAMOND ZON RENDAH KARBON LCC2030C


 
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
KANGAR, 21 Februari 2023 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menerima anugerah ‘Diamond’ bagi kategori Zon Rendah karbon dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C).
 
Anugerah disampaikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad kepada Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022, semalam.
 
Program anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) itu bermatlamat bagi mengurangkan intensiti jumlah pelepasan karbon sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan 45 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030.
 
Dr Zaliman berkata UniMAP berjaya meraih anugerah berkenaan kerana secara keseluruhannya UniMAP telah merekodkan pengurangan 10.96 peratus pelepasan karbon antara 2019 dan 2021 berdasarkan audit yang dijalankan MGTC terhadap lima elemen utama iaitu tenaga, air, sisa, pengangkutan dan landskap.
 
“UniMAP amat komited untuk mewujudkan persekitaran kampus yang lestari dan menyokong agenda negara ke arah pengurangan GHG bagi menangani masalah perubahan iklim.
 
“Syabas diucapkan kepada Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) UniMAP yang bertanggungjawab dalam menguruskan penyertaan UniMAP dalam Program LCC2030C, penyediaan data dan sesi audit bersama MGTC sehingga berjaya meraih anugerah ini,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.
Sementara itu, Nik Azmi menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menetapkan hala tuju dan pendekatan masing-masing yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon bagi menyumbang kepada pengurangan impak perubahan iklim di negara ini.
 
Beliau berkata saranan itu juga adalah bagi mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca berdasarkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) yang dilancarkan pada 2021.
 
"Perancangan dan pembangunan bandar yang mampan dan transformasi kepada bandar rendah karbon dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan selain menarik pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis itu yang berlangsung di Shah Alam, Selangor.
 
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa; dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology dan Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.
 
Terdahulu, penerima anugerah terdiri daripada badan kerajaan dan organisasi swasta dalam pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge - LCC2030C).
 
Selain UniMAP, antara yang menerima anugerah seperti Anugerah Khas iaitu Anugerah PBT Paling Aktif berjaya diraih Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) manakala Anugerah Pengurangan Karbon Terbanyak dimenangi oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPS).