UniMAP TERIMA DANA 4 JUTA PENJANA KPT

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 12 Januari 2023 - Penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia secara keseluruhannya dilihat telah memberikan impak yang besar kepada penurunan semua sektor ekonomi negara merangkumi primer, sekunder dan tertiar.

Ini sekaligus memberi kesan langsung kepada sektor pekerjaan dan meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan graduan.

Perkara ini turut memberi impak kepada penurunan jumlah kemasukan pelajar lepasan sekolah menengah ke institusi pengajian tinggi. Atas rasa keprihatinan yang tinggi, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Career Advancement Program (CAP) sebagai inisiatif dalam usaha menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak tersebut.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata melalui PENJANA, UniMAP telah menerima dana hampir 4 juta bagi pelaksanaan program tersebut.

“Pada Disember 2022 lalu, UniMAP telah menerima dana sebanyak RM818,400.00 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program PENJANA KPT-CAP dan RM650,000.00 bagi program PENJANA KPT-PACE Fasa 3.

“Kita akan melaksanakan program latihan peningkatan kompetensi secara bersasar kepada graduan sebelum mereka memulakan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Ujar beliau, program PENJANA KPT-CAP berfokus untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti yang bergraduat pada tahun 2019, 2020 & 2021 (belum bekerja) atau telah tamat pengajian pada tahun 2022.

“Manakala program PENJANA KPT-Professional Certificate (PACE) pula merupakan program peningkatan kemahiran dan pengukuhan kompetensi pelajar tahun akhir dan graduan 2022 melalui pensijilan profesional berasaskan kepakaran dan kompetensi mengikut bidang sebagai nilai tambah kepada kelayakan sedia ada pelajar.

“Sebagai Naib Canselor salah sebuah universiti berfokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), saya amat berterima kasih kepada KPT atas inisiatif yang memberi manfaat kepada graduan dan usaha ini pasti memberi keyakinan semula kepada masyarakat terutama pelajar dan Ibu bapa untuk kembali memilih menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, UniMAP sebelum ini telah menerima dana sebanyak RM245,900.00 bagi melaksanakan empat program PENJANA KPT-CAP. Pada Fasa 1 program PENJANA KPT-PACE yang menjanjikan penempatan pekerjaan, UniMAP telah melaksanakan tiga program dengan peruntukan RM360,000.00. Manakala Fasa 2 pula, UniMAP menerima dana RM1,905,000.00 bagi melaksanakan 12 program pensijilan profesional.

Antara program yang pernah dilaksanakan oleh UniMAP ialah IC Design Apprenticeship Program, Short Course On Solar PV System, Electronics Design Engineering Upskilling, Design With CATIA, Advantech IOT/SCADA Training Program, Kursus SOP Retort Dan Pensijilan MESTI, Certified Environmental Professional in Scheduled Waste Management (CePSWAM), Certified Traffic Management Officer (CTMO) – Level 4, Kursus Pemasangan Dan Pengujian Kabel Fiber Optik – FTTH dan 5G Installation and Testing.

Kesemua program di UniMAP diselaraskan oleh Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) di bawah seliaan Pengarah, Prof. Madya Dr. Mohd. Najmuddin Mohd. Hassan.