SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA UniMAP ERATKAN PERPADUAN ANTARA PELAJAR

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 30 Januari 2023 - Seiring hasrat kerajaan bagi mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat universiti itu, semalam.

Majlis yang dianjurkan di perkarangan Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP diadakan bagi meraikan pelajar-pelajar berbangsa Cina yang menyambut perayaan itu minggu lalu dengan dimeriahkan dengan penglibatan pelajar-pelajar berbangsa Melayu, India, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain kaum.

Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata UniMAP sendiri mempunyai warga yang berbilang kaum justeru setiap perbezaan budaya dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk saling menghormati.

Ujarnya, sebagai negara yang berbilang kaum, rakyat negara ini khususnya warga UniMAP amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang membuktikan Malaysia bukan sahaja kaya dengan khazanah alam tetapi keamanan dan kebudayaan.

“Keadaan ini akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekaligus melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara khususnya sepanjang pelajar mengikuti pengajian di universiti ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan yang dianjurkan Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Pengarah P3P Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), Prof Madya Dr Che Zulzikrami Azner Abidin dan Pengarah program Mohamad Hafiz Mohamad Shokri. 

Selain jamuan, turut diadakan kuiz berkaitan perayaan Tahun Baharu Cina serta persembahan kebudayaan oleh pelajar dan staf.

Sementara itu, seorang pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia, Bee Kah Ee berkata tidak menyangka sambutan Tahun Baharu Cina di UniMAP juga meriah dan rakan-rakan berbilang kaum yang lain turut sama meraikannya.

“Saya juga tertarik dengan persembahan tarian iaitu tarian kipas dan nyanyian lagu Cina yang bukan sahaja dipersembahkan rakan-rakan Cina tetapi rakan-rakan lain yang berbeza kaum.

“Keadaan ini sekaligus menaikkan semangat patriotisme saya dan perasaan sayang terhadap perpaduan berbilang kaum yang sukar diperolehi dari negara lain,” katanya ketika ditemui, di sini.

Seorang lagi pelajar tahun dua, Ang Sian Feng berkata majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat UniMAP kali ini sangat menarik dengan adanya kuiz, persembahan pelajar dan gimik pelancaran bagi memperkenalkan budaya kaum Cina kepada pelajar-pelajar berbangsa lain.

“Ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim kami, malah dapat memberi lebih banyak pengetahuan kepada rakan-rakan daripada kaum lain mengenai kebudayaan orang Cina menerusi aktiviti kaligrafi Cina, hidangan Yee Sang dan pemberian limau mandarin oleh Naib Canselor sendiri,” katanya.