SUBSIDI YURAN PENGAJIAN DIKEKALKAN : MAHASISWA UniMAP SAMBUT BAIK

 

Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan

PAUH PUTRA, 2 Ogos 2023 – Keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk tidak menarik balik subsidi yuran pengajian yang diberikan kepada penuntut tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah satu langkah terbaik.

Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Alif Zuhaili Shafarin Ketika diminta untuk mengulas perkara ini berkata, beliau menyambut baik keputusan ini dan berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas keprihatinan terhadap generasi muda untuk menyambung pelajaran.

Katanya, keputusan yang dilakukan adalah wajar bagi pembangunan modal insan generasi muda dan dilihat mampu menjadi penentu bagi kepentingan masa depan negara yang akan datang.

Menurutnya, jika kerajaan menarik balik subsidi pengajian maka lebih ramai  golongan muda akan mengalami kesukaran dalam menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan perkara tersebut akan memberi kesan dalam melahirkan golongan profesional di masa yang akan datang.

”Kemajuan masa depan negara terletak kepada pembinaan generasi muda dan jika polisi kerajaan gagal untuk memudahkan generasi ini menimba ilmu pengetahuan, maka masa depan negara akan diperjudikan”

”Selain itu, dengan menyediakan akses pendidikan kepada rakyat Malaysia, penambahbaikan ekonomi negara di masa akan datang dapat dilaksanakan dengan bantuan professional yang diberi peluang menyambung pengajian pada hari ini”, katanya.

Ujar beliau, inisiatif kerajaan yang diperkenalkan termasuk menyediakan bantuan pinjaman PTPTN dalam usaha untuk membantu rakyat negara ini kepada akses pendidikan yang terjamin.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal UniMAP, Muhammad Yusron  Afandi Fahrudin, beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan yang dilakukan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, penyediaan subsidi yuran pengajian sangat membantu terutama pelajar dari golongan B40 untuk memberi  peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading.

Beliau yang juga merupakan pelajar program SULUNG iaitu salah satu program yang diperkenalkan oleh KPT untuk  generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga

B40 berharap agar pihak kerajaan dapat meneruskan program-program bantuan seperti ini dilihat  dapat membantu pelajar meringankan beban yuran pengajian. 

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, perkara  yang diumukan  oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu dilihat adalah usaha kerajaan untuk memastikan peluang bagi menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi  terutama untuk golongan yang memerlukan terus terbuka luas.

”Ia membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat terutama generasi muda dapat peluang pendidikan yang sepatutnya,” kata beliau.