Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
ARAU, 1 Ogos – Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menarik nafas lega kerana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik di luar kampus.
Naib Yang Dipertua 1, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP Sidang Akademik 2022/2023 Siti Aisyah Jaini berkata ia berikutan mahasiswa memiliki hak dan kebebasan untuk terlibat dalam kegiatan politik sesuai dengan agenda KPT yang ke-11 iaitu pembentukan ke arah pemerkasaan mahasiwa yang meliputi kebebasan dalam kampus mahupun laur kampus.
Katanya, mahasiswa juga adalah sebahagian masyarakat terpenting dan sebagai warganegara mereka memiliki hak yang sama seperti warganegara lain untuk menyampaikan pandangan, terlibat dalam proses politik, dan mendukung pihak atau isu tertentu tanpa rasa takut atau diskriminasi.
“Keterlibatan mahasiswa dalam perkara ini dapat menjadi sarana penting bagi mereka untuk mengembangkan lagi pemahaman tentang isu-isu sosial dan politik yang lebih luas, serta menjadi agen perubahan positif di dalam masyarakat,” katanya apabila mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkaitan penglibatan mahasiswa dalam politik sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Tambah Siti Aisyah, beliau yakin dengan kebebasan ini juga, pemerkasaan mahasiswa itu sendiri dapat dilaksanakan dengan baik serta melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mampu berfikir ke hadapan dalam mencetus pembangunan negara.
“Namun, seiring dengan kebebasan tersebut, mahasiswa diharapkan dapat berpolitik dengan sifat tanggungjawab, tanpa mengabaikan tugas dan tanggung jawab mereka sebagai mahasiswa di lingkungan akademik, serta mengekalkan prinsip moral, menghormati pendapat orang lain, dan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh menyebabkan konflik atau kekerasan,” katanya.
Sementara itu, Mantan Yang Dipertua MPP UniMAP Sidang Akademik 2021/2022 Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata Pindaan AUKU 1971 Seksyen 15 (2) (c) sebelum ini telah meluluskan Akta yang menghalang mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik di kampus.
“Ini jelas menunjukkan bahawa mahasiswa bebas berpolitik di dalam mahupun di luar kampus sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara dan berpolitik.
“Merujuk kepada kenyataan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sendiri iaitu pendekatan ini sememangnya perlu supaya mahasiswa pada hari ini lebih matang dalam membuat sesuatu keputusan serta menilai sendiri pemimpin yang mereka mahu. Keputusan Pihak KPT untuk tidak menyekat mana-mana mahasiswa berpolitik adalah merupakan satu program literasi politik yang secara tidak langsung mahasiswa dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang politik Malaysia hari ini, “ kata beliau.
Terdahulu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata pihak pengurusan UniMAP juga menyambut baik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi itu namun mengharapkan mahasiswa universiti itu dapat menggunakan peluang yang diberikan dengan bijaksana.
“Mahasiswa perlu menggunakan kebebasan ini dengan matang yang saya percaya mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan universiti sekiranya keterlibatan tersebut dapat mengikut tatakelola yang jelas sebagai seorang mahasiswa yang bijak pandai.
“Hal ini mampu melonjakkan peranan mahasiswa dalam pembangunan sesebuah negara yang sedang membangun,” kata beliau.