UniMAP UNIVERSITI PERTAMA JALANKAN UJI KAJI IMAT DI OXFORD

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 17 Januari 2023 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti pertama menjalankan penyelidikan menggunakan Imaging and Materials Science and Engineering (IMAT) di STFC Rutherford Appleton Laboratory, Oxford yang dimiliki oleh Science and Technology Facilities Council dibawah UK Research and Innovation (UKRI) bagi mengkaji bahan yang digunakan dalam kenderaan elektrik.

Ini bagi merealisasikan hasrat negara Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di mana pengangkutan merupakan satu daripada enam sektor utama seperti dinyatakan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh berkata, penyelidikan IMAT digunakan bagi memberi fokus kepada pautan lemah dalam elektronik yang digunakan dalam kenderaan elektrik.

“Pautan lemah tersebut merujuk kepada sambungan pateri di mana kami akan membina bahan pateri baharu untuk digunakan dalam kenderaan elektrik kerana bahan pateri konvensional mengandungi plumbum yang merupakan toksik.

“Tetapi untuk menggantikan bahan konvensional ini dengan bahan tahan suhu tinggi adalah sesuatu yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah beliau, hasil kerjasama bersama Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah yang merupakan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia, UniMAP telah menghasil bahan komposit dengan memasukkan geopolimer seramik sebagai penguat dalam bahan pateri.

“Pembuatan seramik ini hanya memerlukan suhu rendah dalam pembuatannya tetapi hasilnya, pateri komposit ini stabil walaupun dalam suhu tinggi dan ini dapat dilihat dalam penggunaannya.

“Bahan komposit baharu ini sepatutnya lebih tahan retak untuk beroperasi dalam kenderaan walaupun dalam persekitaran yang lasak dan membolehkan jangka hayatnya lebih lama serta mengurangkan tenaga dan bahan digunakan dalam elektronik,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Arif berkata kumpulan penyelidiknya juga berkesempatan untuk bekerjasama dengan ISIS Neutron and Muon Source untuk mengkaji unsur-unsur lebih ringan dalam bahan seramik dan ISIS telah menawarkan penyelesaian ideal dengan mengkaji bahan seramik dan menggabungkan ia dengan logam dalam bahan pateri.

“Walaupun semasa sekatan COVID-19, kami telah menghantar beberapa sampel untuk diukur oleh saintis Anna Fedrigo dan Winfried Kockelmann di mana keputusan bagi pengukuran ini telah menunjukkan saiz liang berbeza yang terbentuk dalam seramik disebabkan oleh suhu pengeluaran yang berbeza.

“Kami berharap untuk menyambung kajian mengenai kesan menggunakan kaedah fabrikasi berbeza terhadap struktur seramik dan juga kesan kepada bahan pateri mengambil kira penggunaan bahan seramik di dalamnya,” katanya.

Dr. Mohd Arif juga menjelaskan dana bagi penyelidikan ini dibiayai oleh Newton melalui perjanjian Malaysia - British Council selain turut ditaja oleh Perjanjian Penyelidikan Trilateral COP’26 antara British Council, Jepun dan Malaysia melalui projek Go-GREEN : Next Generation Solder Materials For Power Electronics and Green Electric Transport.

Katanya, Dana Newton - Ungku Omar yang ditubuhkan pada 2014 adalah perkongsian antara United Kingdom dan Malaysia bagi mempromosikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat Malaysia melalui penyelidikan asas dan translasi serta membina kapasiti aktiviti.

“Penajaan ini membolehkan kami membantu pelajar Ijazah Kedoktoran dan siswazah kedoktoran kami. Malah kami juga bekerjasama rapat dengan industri melalui jaringan kolaborasi bersama Nihon Superior Co. Ltd. sebuah syarikat pateri Jepun yang besar dengan sasaran untuk membangunkan aloi pateri baharu.

“Penyelidikan ini hanya permulaan, kami berharap untuk membina penyelidikan tomografi dan seterusnya memperluaskan penyelidikan ini. Ditambah pula, dengan kepelbagaian IMAT yang boleh diakses secara dalam talian akan membantu teknik gabungan eksperimen untuk penyelidikan bahan kami,” katanya.