UniMAP BANTU TUKAR MINYAK HITAM SECARA PERCUMA

Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan

 

BUKIT PINANG, 15 Julai 2023 – Seramai 100 pemilik motosikal di Taman Pinang Jaya, Bukit Pinang tidak melepaskan peluang untuk menukar minyak enjin secara percuma melalui aktiviti ‘Jom Tukar Minyak Hitam Percuma’ anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di taman tersebut, semalam. 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan 100 peserta terawal diberikan minyak hitam selain mendapat perkhidmatan menukar minyak tersebut secara percuma. 

“Aktiviti yang dianjurkan tersebut merupakan sebahagian khidmat komuniti Institusi pendidikan tinggi menerusi Program Semarak Siswa Madani di bawah tema TVET@Komuniti Madani. 

“Peranan universiti hari ini bukan sahaja mendidik anak bangsa bagi mendapatkan pendidikan sempurna, tetapi juga melahirkan pelajar holistik dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui pada program tersebut. 

Aktiviti sempena Program Semarak Siswa Madani yang dirasmikan oleh Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin itu direalisasikan oleh pelajar dan staf dari Fakulti  Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK); serta Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut dijayakan oleh Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pameran kepada bakal mahasiswa oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut, Prof. Dr. Mustafa berkata universiti sentiasa memperluaskan agendanya dengan menjayakan pelbagai aktiviti membabitkan pelajar dan komuniti yang mampu memberi impak positif kepada mereka di dalam dan luar negara. 

“Penganjuran program seperti ini adalah salah satu usaha untuk memastikan hubungan baik dan memberi manfaat kepada  institusi pendidikan tinggi dan juga masyarakat setempat.

“Ia juga selaras dengan amanat YB Menteri Pendidikan Tinggi mana setiap universiti harus menjadikan program bersama komuniti sebagai keutamaan,” katanya. 

Beliau yakin aktiviti sukarelawan sebegini memainkan peranan penting kepada mahasiswa dan mampu menjadi contoh terbaik kepada komuniti setempat sebagai teras kepada pembangunan negara.