AMANAT NAIB CANSELOR 2023, UniMAP SAHUT PERSPEKTIF MADANI DAN 11 FOKUS KPT

 
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
 
PAUH PUTRA, 28 Februari 2023 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberi fokus kepada kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagaimana konsep Malaysia MADANI bagi meneruskan perancangan 2023 universiti berkenaan.
 
Seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi agar setiap rencana dan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak boleh tersasar dari asas dan aspirasi nasional, UniMAP mengambil tanggungjawab untuk menterjemah aspirasi nasional secara tegas, tuntas dan tepat berpandukan 11 fokus utama yang telah digariskan.
 
Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli berkata dengan tema “Yakin Terus Gemilang”, UniMAP mengambil pendekatan meneruskan perancangan yang telah dimulakan sejak 2018 iaitu UniMAP 2025 dengan memperteguh tadbir urus universiti, memantapkan sumbangan kepada agenda TVET Negara, memacu penyelidikan ke arah kemampanan dan kesejahteraan sosial, memperkasa mahasiswa, merancakkan transformasi digital dan strategi lestari, meningkatkan penjanaan kewangan dan membaja kebersamaan warga UniMAP.
 
“Dalam konteks memperteguh tadbir urus universiti, UniMAP akan memberi penekanan dalam aspek integriti, akauntabiliti, amanah dan telus bagi memberi keyakinan kepada pemegang taruh serta sesama warga universiti sendiri.
 
“Perancangan untuk meningkatkan profesionalisme staf universiti, memperkasa pembangunan bakat dan keupayaan universiti; serta mengukuhkan kelompok bakat kepimpinan juga perlu dilaksanakan dengan teliti supaya objektif UniMAP 2025 tercapai,” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2023 yang diadakan di Dewan Kecemerlangan Kampus Alam UniMAP, di sini hari ini. 
 
Sempena majlis berkenaan, UniMAP turut melancarkan Sistem University Legal Documentation (UniLEGAL) iaitu sistem penyiumpanan semua dokumen perundangan dan pemantauan aktiviti memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) yang dibangunkan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang & Integriti UniMAP.
 
Zaliman berkata, UniMAP turut menetapkan sasaran 70 peratus bagi penawaran program baharu Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) pada 2025 berbanding sebelum ini 62 peratus.
 
“UniMAP akan membangunkan program-program baharu TVET yang memenuhi keperluan industri dan menyediakan tenaga pengajar TVET yang kompeten dan berpengalaman dalam bidang industri agar ianya selari dengan kriteria yang telah ditetapkan oleh manual akreditasi TVET iaitu Code of Practice for TVET Programme (COPTPA).
 
“Model pembelajaran teaching factory akan diperluaskan dan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi agar pengalaman dari pengamal industri dibawa ke dalam ruang pembelajaran para pelajar UniMAP. Saya berharap Pusat TVET UniMAP akan menjadi tulang belakang ke arah transformasi sistem dan ekosistem baharu TVET nasional yang dihasratkan oleh KPT, termasuklah melaksanakan industrial lab, pensijilan profesional and aktiviti TVET Unity,” kata beliau.
 
Beliau menambah, dalam aspek memacu penyelidikan ke arah kemampanan dan kesejahteraan sosial, UniMAP 2025 menetapkan bahawa universiti itu memperkasakan impak penyelidikan di persada antarabangsa, mengukuhkan ekosistem penyelidikan yang mampan, dan memacu inovasi dan pengkomersialan.
 
“Menteri Pendidikan dengan eksplisit telah menyatakan bahawa universiti, khususnya ahli akademik perlu menjadi jurucakap utama insituti ilmu dalam isu nasional. Lantas, penyelidikan universiti dan hasilnya perlu bermanfaat kepada, dan berpandukan permasalahan industri, komuniti dan masyarakat dunia sejagat.
 
Kolaborasi dan jaringan strategik dengan industri, institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi di dalam dan luar negara perlu diperteguhkan untuk menjayakan program UniMAP for Society serta objektif Libat Sama dan Pembangunan Komuniti. Kolaborasi penting untuk dana, untuk kepakaran, untuk jaringan, untuk kemampanan,” katanya.
 
Mengulas lanjut mengenai memperkasa mahasiswa, UniMAP akan memastikan kampus yang kondusif dan mesra pelajar menjelang 2025 di samping mengupayakan mahasiwa menambahbaik kemampanan ekosistem keusahawanan; dan memantapkan kepimpinan dan pembangunan bakat mereka.
 
Katanya, mulai tahun ini semua pengurusan, penganjuran dan hal-ehwal kewangan aktiviti pelajar, yang kita peruntukkan sebanyak RM100 ribu setahun, akan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri. Kebertanggungjawaban ini akan membantu mahasiswa untuk lebih matang dan memahami hakikat bahawa dengan kebebasan, harus ada akauntabiliti.
 
“UniMAP akan mengusahakan penjanaan dana keusahawanan sejumlah RM150,000 yang secara tidak langsung akan mewujudkan sekurang-kurangnya 400 peluang keusahawanan dan kerjaya di dalam kampus dengan sasaran keterlibatan 660 pelajar dalam ekosistem keusahawanan,” kata beliau.
 
Dalam aspek merancakkan transformasi digital dan strategi lestari, pelan transformasi digital yang digariskan dalam UniMAP 2025 mensasarkan implimentasi kampus pintar sebagai salah satu objektif strategik di bawah Teras Pemantapan Infrastruktur.
 
Begitu juga dalam agenda lestari, seluruh warga UniMAP disaran membudayakan amalan kelestarian dalam meuju ke arah kampus lestari dengan penghasilan Blueprint kampus Lestari yang dihasilkan Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) yang meliputi segala aspek teras utama universiti iaitu Persekitaran, Akademik & Penyelidikan, serta Ekonomi & Sosial.
 
PHOTO-2023-02-28-14-49-361.jpg
 
Zaliman berkata pengukuhan sumber kewangan UniMAP memerlukan keterlibatan aktif semua pihak sama ada dari segi penjimatan mahupun penjanaan kewangan, oleh itu Polisi Pendapatan Universiti telah diluluskan bagi menggerakkan aktiviti penjanaan universiti.
 
Beliau turut menggariskan enam prinsip kebersamaan dalam Model Kebersamaan Warga UniMAP yang harus dibaja dan dipupuk iaitu Pertama, setiap warga berkongsi matlamat dan tujuan untuk mencapai visi, misi dan hala tuju UniMAP; Kedua, setiap warga menggalas dan melaksanakan tanggungjawab untuk menyumbang kepada daya saing, kemajuan dan keharmonian UniMAP; Ketiga, setiap warga berkongsi keprihatinan dan saling empati kepada keperluan komuniti dan pemegang taruh UniMAP.
 
“Keempat, setiap warga saling mempercayai antara satu sama lain dalam melaksanakan tanggungjawab dan mencapai hala tuju UniMAP; Kelima, setiap warga saling menghargai bakat, sumbangan dan peranan semua warga UniMAP dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing; dan Keenam, saling menghormati antara satu sama lain dan meraikan perbezaan serta kepelbagaian sebagai satu kekuatan warga UniMAP,” kata beliau.