UniMAP BUKA PELUANG NEGARA LUAR LANJUT PENGAJIAN ‘ONLINE’

 

Oleh: Nurul Aida Othman 

 

PAUH PUTRA, 31 Julai 2023 - Seiring kemajuan teknologi dewasa ini yang membolehkan semua maklumat diakses di hujung jari, telah memberi kemudahan kepada pelbagai sektor termasuk sektor pendidikan tinggi negara. 

Tambahan pula apabila negara memperkenalkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) kepada pelajar negara lain melalui pendidikan fleksibel di Malaysia telah membuka lebih banyak peluang melanjutkan pengajian tinggi bagi pelajar antarabangsa. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, ia adalah seiring saranan dan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat. 

“Mereka yang memenuhi syarat minimum pengalaman bekerja layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke universiti dalam negara bagi mod pengajian diploma; diploma lanjutan; ijazah sarjana muda; ijazah sarjana; dan ijazah kedoktoran. 

“Atas dasar itu, UniMAP menyambut baik saranan tersebut dan kami percaya kemasukan pelajar antarabangsa bakal memberi manfaat kepada sektor pendidikan tinggi dan negara Malaysia,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini. 

Ujar beliau lagi, UniMAP kini dalam rangka perbincangan bagi merealisasikan hasrat tersebut bersama-sama universiti luar yang mempunyai perjanjian kerjasama dengannya. 

“Baru-baru ini wakil UniMAP telah ke Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dan Universitas Muhammadiyah Bangka Belitung (UNMUH BABEL) bagi membincangkan pelaksanaan program bersesuaian antara ketiga-tiga buah universiti. 

“Antara cadangan adalah untuk mewujudkan program dwi ijazah dan juga program pengajian pesisir tiga penjuru melibatkan UMY, UNMUH BABEL dan UniMAP bagi pengajian sarjana dan doktor falsafah,” katanya. 

Tambah beliau, kedua-dua universiti menunjukkan minat untuk menghantar pensyarah dan pelajar mereka bagi melanjutkan pengajian ke UniMAP, malah UMY berhasrat menghantar seramai 500 pensyarah mereka bagi menyambung pengajian peringkat PhD bagi program pengajian pesisir apabila dilaksanakan nanti. 

“Rata-rata mereka menunjukkan minat untuk menyambung pengajian kerana kelebihan 

ditawarkan oleh KPT yang membenarkan mereka untuk belajar tanpa perlu berhenti kerja dan berhijrah ke Malaysia dalam tempoh pengajian tersebut.

“Namun ianya melibatkan proses yang agak panjang, dan bagi permulaan ini, fokus UniMAP adalah untuk merealisasikan program dwi ijazah dan program pesisir bagi semua program pengajian kejuruteraan. 

“Oleh itu, UniMAP kini sedang merangka pelan pengajian tersebut sebelum memajukan kepada pihak KPT untuk kelulusan,” katanya. 

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka peluang kepada pelajar luar negara yang sudah mempunyai pengalaman bekerja untuk melanjutkan pengajian tanpa perlu meninggalkan negara mereka untuk ke negara ini sekaligus turut memberi manfaat kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia dalam menerima jumlah kemasukan lebih ramai pelajar luar.