402 PELAJAR BAHARU AMBILAN DIPLOMA MENDAFTAR DI UniMAP

PAUH PUTRA, 19 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima seramai 402 pelajar baharu ambilan Diploma bagi Sidang Akademik 2023/2024 dengan pecahan 281 lelaki dan 121 perempuan, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP, Prof Dr Mohd Yusoff Mashor berkata daripada jumlah itu, program Kejuruteraan Bahan mencatat kemasukan tertinggi dengan 91 pelajar.

“Mereka terdiri daripada 57 lelaki dan 34 perempuan diikuti program Kejuruteraan Pembuatan mencatat kemasukan 81 pelajar yang terdiri daripada 54 lelaki dan 27 perempuan.

“Program Kejuruteraan Komputer pula dengan 71 pelajar, Kejuruteraan Elektronik (62),  Kejuruteraan Mekatronik (52) dan Kejuruteraan Elektrik (45),” kata beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP.

Tambah beliau, UniMAP memberi tumpuan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga berjaya menubuhkan Pusat TVET UniMAP sebagai satu entiti pemerkasaan kriteria dan profil bakal graduan TVET.

“Pusat ini menetapkan enam teras iaitu latihan, akademik, produk, perkhidmatan, perundingan dan komuniti yang disokong 10 makmal industri dengan set kemahiran yang selari dengan industri perlukan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Waris sempena Minggu Suai Kenal (MSK) di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP, di sini.

Terdahulu pasangan kembar seiras mencuri tumpuan di Majlis Taklimat Waris bersama Naib Canselor sempena program MSK ambilan Diploma yang bermula pada 22 hingga 26 Julai 2023.

Muhammad Danial Husni dan Muhammad Danish Husni,18, dari Pulau Pinang memilih UniMAP sebagai pilihan pertama mereka bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Muhammad Danial berkata mereka yang tidak pernah berenggang sejak kecil menyebabkan mereka sepakat memilih bidang yang sama bagi melanjutkan pengajian selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

“Lebih menggembirakan kerana saya dapat tinggal bersama adik kembar saya di bilik asrama yang berdekatan iaitu di Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, di dalam kampus.

“Kami berdua juga menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda sekiranya berpeluang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain itu, UniMAP turut membuka peluang kepada semua pelajar lepasan SPM yang berhasrat menyambung pengajian Diploma di UniMAP menerusi program rayuan yang akan ditawarkan oleh universiti itu selepas ini.