Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 14 Ogos - Hasrat seorang remaja untuk mengejar cita-cita hampir terkubur apabila terpaksa melupakan tawaran pengajian ke universiti kerana kesempitan hidup keluarga.
Namun, hasil keprihatinan pengurusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akhirnya membawa sinar kepada Adam Haris Abdullah,18, yang ingin menyambung pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di universiti itu.
Delegasi UniMAP diketuai Naib Canselornya Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli segera mengunjungi Adam Haris di Perumahan KEDA Bukit Kura, Kuala Nerang Kedah apabila mengetahui pelajar berkenaan hampir melupakan impiannya ke menara gading.
Zaliman berkata UniMAP menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera menyalurkan Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) bagi membiayai pengajian Adam Haris di universiti kejuruteraan di utara semenanjung itu.
“Selain itu ,yuran penginapan pelajar ini juga ditanggung oleh universiti bagi membolehkannya mengikuti pengajian dengan lebih baik dan selesa.
“Adam Haris hanya perlu belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan bagi membela nasib keluarga,manakala hal kewangan tidak perlu dirisaukan lagi,” katanya ketika menyampaikan surat tawaran Diploma UniMAP dan surat tawaran Dermasiswa B40 TVET kepada Adam Haris.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dan Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah , Irhamuddin Mansor.
Tambah Zaliman, kerajaan melalui KPT sedaya upaya menyediakan pelbagai bentuk bantuan agar golongan kurang bernasib baik dapat mengubah hidup mereka menerusi pendidikan tinggi.
“Oleh itu, golongan B40 dapat memanfaatkan peluang ini sebaiknya bagi mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik,” kata beliau.
Sempena kunjungan itu, Zaliman turut menyampaikan Bakul Rahmah UniMAP- KPT dan bantuan awal berupa wang tunai RM500.
Sementara itu, Adam Haris berkata dia dibesarkan keluarga angkat iaitu pasangan Mohd Aini Madon, 60, dan Siti Rodziyah Awang, 59, sejak berusia 22 hari.
“Pendapatan bapa sebagai penoreh getah hanya sekitar RM500 sebulan menyebabkan mereka hampir berputus asa mengizinkan saya menyambung pengajian.
“Tetapi hari ini saya rasa bertuah kerana berpeluang menyambung pengajian saya dalam bidang saya minati iaitu Elektrik dan akan belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa kedua ibu bapa angkat yang bersusah payah membesarkan saya walaupun saya hanya anak angkat mereka,” katanya yang mendaftar ke UniMAP, hari ini.
Terdahulu, masalah yang dihadapi Adam Haris menarik perhatian pengurusan UniMAP berikutan bapanya itu sudah uzur kerana sakit belakang manakala ibu pula mengalami masalah penglihatan.
Keluarga itu yang terdiri daripada 12 ahli keluarga termasuk dua anak kandung dan cucu hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai pendapatan sampingan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.