15 USAHAWAN SISWA ASNAF UniMAP TERIMA DANA KEWANGAN BANK RAKYAT

 

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 22 Ogos 2023 - Seramai 15 usahawan siswa asnaf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima suntikan dana kewangan berjumlah RM45,000 daripada Bank Rakyat pada Majlis Perasmian RakyatPreneur dan Bank Rakyat Unipreneur 2023 yang berlangsung pada 17 Ogos 2023 di Menara Berkembar Bank Rakyat Kuala Lumpur. 

Mereka masing-masing menerima RM3,000 terdiri daripada pelajar Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia (FKTK), Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam (FKTA), Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektronik (FKTEN), Fakulti kejuruteraan Teknologi Mekanikal (FKTM), Fakulti Teknologi kejuruteraan Elektrik (FKTE) dan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK). 

Malah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) UniMAP juga turut menerima RM4,500 untuk penyelarasan peserta bagi mengikuti kursus dan modul-modul perniagaan sepanjang tempoh enam bulan projek tersebut dijalankan. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, pelajar yang terpilih ini adalah dari golongan B40 dan asnaf yang telah mempunyai perniagaan mereka sendiri. 

“Mereka adalah antara 500 mahasiswa dari 21 universiti yang terpilih bagi mengikuti program inisiatif Bank Rakyat khusus membantu usahawan asnaf dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia. 

“Program ini telah berjaya membantu ramai usahawan asnaf sejak ia diperkenalkan pada 2020 dan 2021,” katanya ketika dihubungi. 

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. 

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE), UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Najmuddin Mohd Hassan, bersama Timbalan Pengarah (Bahagian Keusahawanan) CGEE, Dr. Rozilawati Mahadi. 

Mengulas lanjut Prof. Dr. Mustafa berkata, suntikan dana ini selari dengan salah satu 4P iaitu Penyediaan Bakat yang diperkenalkan oleh Menteri

Pengajian Tinggi dalam satu temubual khas yang disiarkan dalam saluran televisyen nasional baru-baru ini. 

“Dalam konteks ini, UniMAP juga memberi penekanan dalam membantu golongan pelajar asnaf yang memerlukan sumber pendapatan bagi menampung perbelanjaan. 

“Perkara ini telah diletakkan dalam teras 4 iaitu kemenjadian mahasiswa UniMAP di mana pemantapan ekosistem keusahawanan dan kebolehpasaran graduan dengan gaji premium melalui flagship UniCARE (UniMAP Care Initiative) dan UniGEE (UniMAP Graduate Employability and Entrepreneurship),” katanya. 

Ujar beliau, penyediaan bakat pelajar melalui program keusahawanan melibatkan usaha untuk membangunkan potensi usahawan dalam kalangan pelajar. 

“Ini melibatkan latihan, bimbingan, akses kepada sumber daya, fasiliti pemulihan perniagaan, kerjasama antara pelajar, pertandingan usahawan, dan perkembangan sikap usahawan. 

“Ia bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran perniagaan, semangat inovatif, serta keupayaan mengurus risiko, dengan impak terhadap pertumbuhan ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan dan inovasi perniagaan,” katanya. 

Tambah beliau lagi, usaha Bank Rakyat melalui kedua-dua program wajar dipuji kerana telah berjaya mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan. 

“Seramai 1,833 usahawan dan usahawan pelajar asnaf telah berjaya dibantu sehingga tidak lagi berada dalam kelompok asnaf atau B40. 

Inisiatif tersebut selaras dengan agenda utama program hak asasi manusia global, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk membasmi kemiskinan menjelang 2030 melalui dana dan bimbingan inklusif,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Bahagian Keusahawanan) CGEE, Dr. Rozilawati Mahadi berkata, usahawan UniMAP akan mengikuti empat modul yang bakal dijalankan oleh CGEE merangkumi Pengurusan Perniagaan;

Menghidupkan semula Simpan Kira; Pengurusan Kewangan; dan Pemasaran dan Pemasaran Digital.

“Seramai empat mentor telah dilantik dalam kalangan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) untuk membimbing dan memantau mereka. 

Mentor akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada semua peserta melalui modul-modul yang telah disediakan dan selepas tamat tempoh program tersebut, pelajar perlu menyediakan laporan dan menghantarnya kepada Bank Rakyat untuk penilaian,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas sumbangan dan sokongan dalam membantu usahawan pelajar asnaf mengembangkan perniagaan dan mengikuti latihan serta bimbingan ini. 

“Diharapkan 15 usahawan pelajar ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi bidang ini sebagai pilihan kerjaya dan selain mampu memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya. 

Untuk rekod, Bank Rakyat UNIpreneur adalah inisiatif kewangan sosial Bank Rakyat yang menyasarkan pembangunan ekosistem usahawan mahasiswa asnaf berpotensi di Malaysia.