Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
ARAU, 21 Jun – Jika sebelum ini Karnival Kerjaya dianjurkan bagi menjadi medan bagi mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir, untuk bersemuka dan bersua bagi padanan pekerjaan dalam mengisi kekosongan-kekosongan jawatan di industri, kini kebanyakan pihak menganjurkan karnival berkenaan bersama karnival keusahawanan.
Oleh itu, Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan (CGEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Talentbank telah menganjurkan Northern Industrial Career Engagement-8 dan Entrepreneurship Fair (NICE-8 & EF ) yang dirasmikan Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli.
Pengarah CGEE UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan berkata sempena NICE-8 & EF itu, tiga skim keusahawanan telah dilancarkan dengan salah satunya ialah Facpreneur 1F1PK yang merupakan skim keusahawanan pelajar yang melibatkan enam Fakulti di UniMAP.
Ujarnya, menerusi skim itu setiap fakulti perlu menyediakan ekosistem keusahawanan yang mampan untuk memperkasa kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Selain itu, Skim Rintis Usahawan Muda UniMAP yang merupakan program rintis pembiayaan modal perniagaan di bawah CGEE, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP pula menawarkan skim pembiayaan modal awal perniagaan kepada usahawan pelajar B40/ Asnaf,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah beliau, skim Pembiayaan Mikro Siswapreneur Al-Qard (tanpa faedah) merupakan program kewangan sosial yang menawarkan skim pembiayaan mikro kredit tanpa faedah kepada usahawan pelajar B40/ Asnaf UniMAP.
“Sumber skim pembiayaan ini adalah daripada dana zakat yang diperolehi oleh universiti. Sehingga kini, seramai 20 orang siswaapreneur asnaf atau B40 dikenalpasti melibatkan peruntukan sebanyak RM66,000,” kata beliau.
Karnival kerjaya NICE-8 – EF kali ini melibatkan 29 industri yang menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan termasuk peluang untuk menjalani latihan industri.
Antara majikan yang terlibat adalah Huawei, Greatech Integration (M) Sdn Bhd, NSW Automation Sdn Bhd, Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Jinko Solar Technology, RHB Bank, Fuji Electric (Malaysia) Sdn Bhd, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. dan lain-lain.
Terdahulu, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman berkata bagi melahirkan bakat terbaik untuk pasaran kerja negara, UniMAP optimis memperkasakan latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja (Work Based Learning-WBL).
“Selain itu isu sama ada mahasiswa universiti berupaya memenuhi kehendak industri telah menjadi tanggungjawab kepada universiti kerana bagi pihak industri, mahasiswa mestilah seorang tenaga kerja yang kompeten dan bersedia bekerja dengan kemahiran yang diperlukan.
“Manakala bagi pihak universiti pula, pengajaran dan pembelajaran mesti selari dengan kehendak industri dan infrastruktur mestilah lengkap dan selari dengan apa yang ada di industri,” kata beliau ketika merasmikan karnival berkenaan di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, atas dasar itu, UniMAP juga telah menubuhkan Pusat TVET UniMAP yang disokong dengan 10 makmal industri. Ini termasuk kerjasama dengan pihak industri utama dan set kemahiran (skills) akan dapat disediakan kepada para pelajar yang menjalankan Latihan Industri dan WBL di industri.
Sepanjang tiga hari program itu, seramai 2890 orang telah mengunjungi karnival kerjaya berkenaan.
Mengikut maklum balas awal dari majikan, mereka berpuas hati kerana ramai calon-calon di kalangan pelajar UniMAP yang ditemuduga menepati kehendak pasaran dan industri semasa.
Program karnival kerjaya kali ini digabungkan bersama karnival keusahawanan bagi mendedahkan pelajar kepada pihak industri dan juga bidang keusahawanan sekaligus menjadi platform terbaik kepada mahasiswa dan mahasiswi yang sedang mencari penempatan latihan industri.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan termasuk pameran kerjaya oleh syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan, temuduga kerjaya, ceramah kerjaya dan keusahawanan, pesta keusahawanan yang melibatkan lebih 30 booth Siswaprenuer serta cabutan bertuah yang ditaja menawarkan hadiah utama sebuah Apple Smartwatch.