
PAUH PUTRA, 30 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan Program Kebun Nuri Nutrisi IoT Bank Rakyat-UniMAP sebagai satu inisiatif untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas kemahiran pertanian dan keusahawanan.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UniMAP, Prof Ir Dr. Rizalafendi Che Ismail berkata menerusi program ini, pelajar diberi pendedahan di peringkat awal proses penanaman, penjagaan tanaman dan proses tuaian penanaman halia.
”Pelajar UniMAP khususnya dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE) juga didedahkan dengan penggunaan sistem IoT di dalam bidang pertanian dan penggunaan robot penyembur racun”.
Ujar beliau lagi, penggunaan robot penyembur racun yang dibangunkan melalui geran penyelidikan di UniMAP boleh mengurangkan kesan sampingan kepada pekebun.
”Semburan robot penyembur boleh dilakukan pada jarak yang jauh yang menjadikan proses semburan lebih mudah dan selamat,” katanya.

Sistem IoT antara kurikulum yang diajar di UniMAP yang dibangunkan oleh para pelajar untuk memberi bacaan kandungan baja seperti nitrogen, phosphorus, dan potassium yang boleh dilihat menggunakan telefon pintar, tab, dan komputer.
Sementara itu, pelajar tahun akhir dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE), Muhamad Amirul Ashraf Idrus berkata beliau mendapat banyak pengalaman dalam asas kemahiran pertanian.
”Usahanya dalam berkebun sejak awal ogos lagi tidak sia-sia kerana ia meluaskan lagi kemahirannya dalam pertanian”, katanya.
Turut hadir Pengarah Bank Rakyat Wilayah Utara, Tuan Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali, Penasihat Institut Agroteknologi Lestari (INSAT), Prof Dato’ Dr Ali Yeon Md Shakaf, Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Encik Nizam Abu Samah, dan Pengarah Institut Agroteknologi Lestari (INSAT), Prof Madya. Dr. Muhammad Imran Bin Ahmad.
UniMAP menerima sejumlah RM 20 500 daripada Bank Rakyat untuk menjayakan projek ini supaya dapat menjaga jaminan makanan serta kebajikan pelajar B40.
Tempoh bagi projek ini berterusan bergantung kepada hasil jualan yang dibahagikan kepada kos operasi, penjagaan kebun halia dan sebahagiannya turut disumbangkan kepada pelajar B40 yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

